
Pengangguran dan peluang pekerjaan mesti dijadikan isu utama dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac ini.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, kegagalan Kerajaan Negeri Johor menyediakan peluang pekerjaan berpendapatan sesuai menyebabkan ratusan ribu bangsa Johor ke Singapura bekerja, dan kini sebahagiannya menganggur.
"Atas kegagalan kerajaan Johor Umno BN selama ini menyediakan pekerjaan bergaji tinggi kepada rakyat sendiri maka lebih 400,000 pekerja Malaysia terutama dari Johor terpaksa ulang-alik setiap hari bekerja di Singapura.
"Akibat pandemik Covid-19 dan penutupan sempadan negeri, ramai rakyat yang selama ini bekerja di Singapura sedang menganggur. Kerajaan Umno BN Johor pula tidak pedulikan nasib yang menganggur ini," katanya.
Di peringkat Persekutuan pula, menurut Hassan, Jabatan Perangkaan Malaysia menyatakan terdapat lebih setengah juta rakyat sedang menganggur, iaitu seramai 687,600 orang.
Hal itu, katanya, menunjukkan kerajaan BN lemah serba serbi sama ada di peringkat pusat mahu pun negeri dan tidak seharusnya diberi peluang meneruskan pentadbiran.
"Ini satu contoh kegagalan Kerajaan Persekutuan BN sama seperti Kerajaan Negeri Johor yang gagal mengwujudkan peluang-pekerjaan untuk rakyat khususnya golongan muda.
"Parti KEADILAN dan Pakatan Harapan perlu membentangkan pelan tindakan untuk mengatasi masalah pengangguran dan mewujudkan lebih banyak peluang peluang pekerjaan untuk rakyat," katanya lagi.
Tegas Hassan, sekiranya manifesto yang mantap serta menyelesaikan isu pengangguran disediakan dan dibentangkan kepada bangsa Johor dalam PRN pada 12 Mac maka peluang KEADILAN dan PH cerah untuk mendapat mandat bagi membentuk Kerajaan Johor yang baru.