top of page

Perkenalkan Cukai Pendapatan Modal atasi kekurangan hasil negara - Shamsul Iskandar



Kerajaan Perikatan Nasional dinasihatkan memperkenalkan Cukai Pendapatan Modal atau Capital Gain Tax (CGT) bagi menampung kekurangan hasil akibat perlahannya kegiatan ekonomi sepanjang pandemik Covid 19.


Cukai berkenaan, menurut Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin wajar kerana dikenakan ke atas golongan kaya yang biasanya bermain saham dan bukannya bersifat regresif sebagaimana Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang cuba dihidupkan kembali oleh kerajaan.


"Apa yang saya ingin cadangkan pada perbahasan kali ini adalah mengenakan cukai pendapatan modal atau Capital Gain Tax kepada syarikat-syarikat yang mendapatkan keuntungan melalui penjualan saham


"CGT adalah satu bentuk cukai yang termasuk di bawah kategori cukai langsung (direct tax). Ia dikenakan ke atas keuntungan jualan aset seperti saham, bon, hartanah, emas dan sebagainya.


"Dalam erti kata lain, golongan T20, jutawan mahupun bilionair wajar dikenakan cukai ke atas saham syarikat mereka yang memperoleh jutaan malah berbilion ringgit hasil daripada penyimpanan aset.


"CGT juga patut dikenakan ke atas keuntungan transaksi jualan saham. Di samping itu juga, penjualan. Misalnya, Initial Public Offering (IPO) juga tidak pernah sama sekali dikenakan cukai sedangkan nilai jualan saham syarikat di Bursa Malaysia mencapai keuntungan yang maksimum," katanya dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat.


Menurut Shamsul, alasan kerajaan sebelum ini bahawa CGT tidak wajar dikenakan kerana bimbang pelabur tidak berminat untuk melabur di Malaysia tidak berasas sama sekali.


Sebaliknya, kata beliau, cukai baharu itu akan mengelakkan pelaburan jangka pendek dan menggalakkan pelaburan jangka panjang serta mengurangkan dagangan spekulasi oleh para pemain saham.


"CGT sudah pasti akan menambah hasil kutipan kerajaan sama seperti tujuan GST.


"Cukai ini berpotensi menyentuh isu jurang pendapatan, menambah hasil kerajaan dan menyeimbangkan bebanan cukai rakyat Malaysia. CGT tegasnya akan mencukaikan yang kaya dan membantu yang memerlukan," katanya lagi.


Shamsul juga membawakan petikan surat bertajuk Millionaires For Humanity oleh Bridging Ventures, Club of Rome, Human Act, Oxfam International, Patriotic Millionaires, dan Tax Justice UK yang ditandatangi oleh sekumpulan jutawan daripada seluruh dunia.


Dalam surat itu, kata Shamsul, kumpulan jutawan mendesak kerajaan untuk mengenakan cukai lebih tinggi kepada mereka dalam keadaan negara kekurangan hasil. Surat terbabit boleh dibaca di pautan https://www.millionairesforhumanity.com/ .


Shamsul yang juga merupakan Bendahari Kesatuan Ahli-Ahli Parlimen Komanwel percaya golongan terkaya di Malaysia juga sanggup menawarkan khidmat negara yang penting ini ketika seluruh rakyat terbeban akibat kemerosotan ekonomi.


Dalam perkembangaan berkaitan, CGT turut disokong oleh CEO Inland Revenue Board (IRB), Datuk Seri Sabin Samitah dalam persidangan webinar Deloitte TaxMax 2020, baru-baru ini.


Kata beliau dalam usaha untuk meluaskan sistem percukaian dan meningkatkan hasil kerajaan, Malaysia perlu menimbangkan untuk memperkenalkan CGT.


Cukai itu juga menurutnya, mampu menseimbangkan jurang pendapatan rakyat dengan mengenakan lebih cukai kepada golongan kaya.




0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page