Pembaikan jalan sering dilakukan oleh konsortium terpilih di beberapa negeri yang menimbulkan suasana kurang sihat kerana hanya berberapa syarikat yang mendapat projek dalam beberapa tahun kebelakangan.
Ahli Parlimen Hassan Abdul Karim (PH - Pasir Gudang) berkata hal berkenaan seharsunya tidak terus berlaku memandangkan syarikat lain juga perlu diberi peluang.
"Jumlah kerajaan untukkan berbilion ringgit (pembaikan jalan). Saya ingin bawa satu keadaan yang kurang sihat. Hanya syarikat konsortium sahaja yang mendapat tender membaiki dan selenggara jalan raya di negeri tertentu.
"Saya percaya amalan tidak sihat ini perlu diberhentikan. Perlu tender terbuka. Beri peluang ke syarikat lain, jangan konsortium ini terus memonopoli dan ini tidak baik," katanya dalam sesi membahas peruntukan Kementerian Kerja Raya di Dewan Rakyat, petang tadi.
Hassan turut mahu proses pembaikan jalan dipantau rapi oleh pihak Kementerian kerana kualiti pembaikan kerap dipersoalkan oleh pengguna jalan raya.
"Kita buat dasar di sini, kerajaan buat peruntukan, tetapi akhirnya yang melaksanakannya adalah kontraktor di kawasan tempatan.
"Soalnya adakah pemantauan dilakukan? Adakah kementerian puas hati dengan kontraktor yang menjalankan kerja selenggara?" tanyanya.
Selain itu, Hassan juga membangkitkan isu kawasan beliau yang mana lebuh raya Pasir Gudang masih belum selesai proses naik tarafnya dan keadaan sedia ada yang banyak merosakkan kenderaan atau memakan korban.
"Lebuh raya Pasir Gudang yang dalam beberapa hari ini ramai yang mengetahui keadaannya sangat buruk, berlubang dan sangat merbahaya.
"Kereta rosak, rim kereta bengkok dan ada yang meninggal dunia.
"Jadi pertanyaan saya kepada pihak kementerian, berapa juta peruntukan untuk naik taraf lebuh raya Pasir Gudang. Ada beberapa fasa dan belum selesai keseluruhan.
"Jadi bila agaknya untuk selesai naik taraf lebuh raya ini dapat diselesaikan," katanya lagi.
Comments