Model ekonomi baharu harus diperkenalkan dalam suasana Covid 19 yang masih mewabak.
Menurut Presiden Persatuan Rapat Rakyat (RAPAT), Mustafa Kamil Ayub, model ekonomi baharu kelak seharusnya tidak menggalakkan rakyat melakukan aktiviti jual beli secara konvensional yang menimbulkan risiko jangkitan Covid 19. Sebaliknya dilakukan secara atas talian.
Tumpuan juga, kata Mustafa, perlu diberi kepada sektor penghasilan makanan yang menjadi keperluan utama rakyat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Misalnya pada bulan Ramadan ini konsep e-bazar perlu diketengahkan menggantikan bazar Ramadan biasa.
"Begitu juga sektor pertanian perlu disusun semula. Sektor ini merupakan sumber bekalan makanan utama dan kritikal untuk beberapa bulan atau tahun mendatang.
"Termasuklah sektor perladangan seperti kopi, teh, koko, sayur-sayuran, buah-buahan, sektor perikanan dan sektor penternakan. Polisi kerajaan perlu bertukar dengan memperuntukkan lebih besar tanah pertanian berasaskan makanan. Ia boleh dilakukan secara pembiayaan modal melalui koperasi atau syarikat usahasama agensi kerajaan maupun pihak bank tanpa dikenakan faedah sebagai galakan kepada petani,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Selain itu, Mustafa juga menyarankan golongan kaya di negara ini agar lebih banyak menyumbang membantu rakyat marhaen yang terjejas teruk menghadapi kekurangan pendapatan ketika kebanyakan sektor swasta memotong gaji pekerja.
"Golongan terkaya selama ini mendapat manfaat terbesar daripada kemakmuran dan kerancakan ekonomi.
"Sumbangan mereka amat diperlukan, sama ada terhadap Tabung Bantuan Covid-19 atau pun secara langsung membantu NGO yang memberi sumbangan makanan. Pemilik-pemilik sektor perbankan juga sewajarnya lebih terkehadapan dalam menghadapi kesan buruk ekonomi akibat wabak ini,” kata presiden NGO pembela kebajikan Reformis tersebut.
Comments