
Sektor perkhidmatan awam akan dipertingkat lagi keberkesanannya dengan memperkenalkan Akta Tatakelola Sektor Awam dan Pelan Integriti.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH - Tambun) mengumumkan demikian dalam pembentangan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke (RMK)12 di Dewan Rakyat, pagi tadi.
"(Kerajaan) memperkenalkan dua anjakan utama, yakni Tatakelola dan Rangka Kerja Institusi, dan Perundangan Berkaitan Rasuah.
"Kerajaan komited untuk memulihkan imej Malaysia pada peringkat antarabangsa serta mengangkat darjatnya menjadi negara yang bermaruah dan antirasuah.
"Untuk itu, Akta Tatakelola Sektor Awam dan Pelan Integriti akan diperkenalkan sebagai panduan tatakelola bebas rasuah kepada semua entiti, baik dalam sektor awam mahupun swasta. Kerajaan juga telah menyasarkan kedudukan ke-25 teratas buat Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah sedunia dalam tempoh 10 tahun.
"Kedua, selain daripada penambahbaikan aspek perundangan dan penguatkuasaan, Kerajaan juga menekankan pengukuhan jati diri dan akhlak dalam diri setiap warganegara.
"Justeru, pentingnya pendidikan kesedaran antirasuah yang harus dikembangkan pada semua peringkat usia. Sementelahan, agenda mempromosi dan mendidik masyarakat mengenai nilai-nilai murni demi membina sahsiah terpuji akan terus direkayasa," katanya.
Teras ketiga pula, kata PM, adalah bagi memperkemas jentera perkhidmatan awam dan untuk itu Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) ditubuhkan bagi membantu menyelesaikan urusan yang tertangguh dan menyegerakan pelaksanaan projek serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
STAR, katanya, telah berjaya melaksanakan projek rintis mengurangkan kesesakan serta tempoh menunggu pesakit di Zon Hijau Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor dan akan diperluas kepada hospital lain.
Dalam bidang ekonomi, kata PM, Malaysia terus unggul sebagai antara negara Asia yang paling berdaya saing dalam persaingan global. Kerajaan terus menyasarkan Malaysia untuk menduduki tangga ke-20 teratas dalam Subindeks Kecekapan Kerajaan dalam IMD World Competitiveness Yearbook pada akhir tempoh RMK12.
"Oleh itu, bagi memperluas akses perkhidmatan awam kepada rakyat, Kerajaan telah beralih kepada pendigitalan perkhidmatan yang diungkapkan sebagai Kerajaan Berteknologi Termaju (GovTech), bawah anjakan utama Industri Berasaskan Teknologi dan Digital.
"Inisiatif ini mampu menjimatkan kos, masa dan tenaga rakyat, serta berhasil menunjukkan penerimaan yang positif dan mencatat kemajuan dalam penyampaian.
"Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) misalannya, membolehkan permohonan dibuat oleh rakyat secara terus dalam talian. Sehingga 31 Ogos 2023, sebanyak 3,776 permohonan IKR telah diterima. Selain itu, penggunaan Identiti Digital (ID) Nasional secara rintis bagi pengesahan identiti yang selamat dan terpelihara dijangka akan diluncurkan pada tahun 2025," katanya lagi.
Sementara itu, PM juga mengumumkan Aplikasi MYJalan yang baru diluncurkan baru baru ini telah berjaya memudahkan rakyat untuk membuat aduan mengenai kerosakan jalan kepada Kerajaan.
Sehingga hari ini, katanya, aplikasi tersebut telah menerima lebih 1,000 aduan. Hal itu merupakan petanda yang positif, bahawa keterlibatan rakyat secara proaktif dalam gemblengan tenaga bersama Kerajaan akan menghasilkan jaringan jalan raya yang lebih selamat dan bermutu.
Comments