
Parti Muda yang sering mengkritik polisi atau keputusan dibuat oleh Kerajaan Perpaduan sejak beberapa bulan lalu dianggap melakukan tindakan positif dan berkembang secara 'sihat' apabila mengumumkan menarik diri daripada kerajaan semalam.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, dengan keluar daripada kerajaan maka Muda bolehlah menggerakkan apa yang sering dibicarakan oleh presiden parti itu, Syed Saddiq Abdul Rahman untuk memulakan gerakan third force.
"Adalah satu perkembangan yang baik jika Muda ingin membina third force atau kelompok ketiga dalam politik Malaysia bagi memberi saingan sihat kepada Pakatan Harapan - BN dan Perikatan Nasional
"Third force yang merangkumi Muda dan PSM misalnya adalah satu perkembangan sihat dalam politik Malaysia, supaya memberi rakyat pilihan yang lebih luas," katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, kata Hassan, sebagai Ahli Parlimen yang mahu berjuang secara third force dan tidak juga terikat dengan pembangkang PN, seharusnya Muda mengambil pendirian menyokong apa sahaja perkara baik yang dibawa oleh Kerajaan Perpaduan di menjaga kebajikan rakyat selepas ini.
"Hanya sebagai Ahli Parlimen PH dari KEADILAN yang mewakili Pasir Gudang, saya mohon kepada Syed Saddiq dan Muda semoga menyokong inisiatif Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sekiranya Kerajaan Perpaduan membawa inisiatif reformasi di Parlimen yang memerlukan kelulusan majoriti dua pertiga dalam undian berkenaan pindaan Perlembagaan Persekutuan, atau usul-usul, atau Rang Undang-undang yang baik dan progresif sifatnya yang dibentangkan oleh Kerajaan Perpaduan pimpinan PM Anwar dari semasa ke semasa," katanya lagi.
Semalam, Muda mengumumkan menarik sokongan daripada Kerajaan Perpaduan berikutan ketidak setujuan parti itu berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan minggu lalu.