Perkataan “lighad”: Siasat secara adil, elak al-Quran jadi bahan sindiran politik


Pertubuhan Kebajikan Reformis Malaysia (PKORM) menegaskan kesucian al-Quran tidak sepatutnya dijadikan bahan sindiran politik, sebaliknya menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan secara adil, tegas dan berlandaskan undang-undang berhubung kontroversi komen yang dikaitkan dengan Eric See-To atau Lim Sian See.
Pengerusinya, Mustapa Mansor Amer Mohd Isa berkata pihaknya memandang serius kontroversi berkaitan penggunaan perkataan “lighad” dalam pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin dan dipersendakan secara tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, perkataan “lighad” membawa maksud “hari esok” atau masa hadapan dan terdapat dalam Surah al-Hashr, ayat 18 yang mengandungi peringatan kepada orang beriman supaya bertakwa kepada Allah serta menilai persediaan untuk hari akhirat.
"PKORM menegaskan bahawa al-Quran ialah kitab suci umat Islam dan tidak wajar dijadikan bahan ejekan, permainan kata atau sindiran yang boleh ditafsirkan sebagai memperlekehkan ayat-ayat Allah," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, perbezaan politik, kritikan terhadap kerajaan atau ketidaksetujuan terhadap gaya penyampaian seseorang pemimpin tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengetepikan adab dan sensitiviti agama.
Bagaimanapun, Mustapa berkata PKORM turut mengambil maklum penafian Eric See-To yang mendakwa tidak berniat menghina al-Quran dan petikan ayat al-Quran yang tersebar bersama tangkap layar komennya telah ditambah pihak lain.
Katanya, penjelasan berkenaan perlu direkodkan dan dinilai bersama bukti asal, konteks penuh hantaran, rekod penyebaran serta hasil pemeriksaan digital.
Sehubungan itu, PKORM menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan secara profesional, telus dan tanpa pilih kasih.
"Jika terdapat bukti kesalahan, tindakan hendaklah diambil menurut undang-undang yang berkuat kuasa. Pada masa yang sama, prinsip keadilan dan anggapan tidak bersalah hendaklah dihormati sehingga proses undang-undang menentukan sebaliknya," katanya.
PKORM turut berpandangan isu berkenaan boleh dinilai dalam kerangka 3R, iaitu kaum, agama dan institusi diraja, khususnya aspek agama, sekiranya kandungan terbabit memenuhi unsur kesalahan yang ditetapkan undang-undang.
"Penentuan undang-undang perlu mengambil kira kandungan sebenar, konteks, bukti dan peruntukan yang berkenaan. PKORM menyerahkan penilaian tersebut kepada pihak berkuasa dan tidak mendahului hasil siasatan," katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan semula kandungan yang boleh mencetuskan ketegangan, selain mengelakkan penyebaran tuduhan belum disahkan, fitnah, ancaman dan tindakan mengambil undang-undang di tangan sendiri.
"PKORM menegaskan bahawa kesucian al-Quran mesti dihormati oleh semua pihak tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik.
"Kritikan politik hendaklah dibuat berasaskan fakta dan tidak mempermainkan simbol atau teks suci agama," katanya.
Beliau berkata, keharmonian rakyat Malaysia perlu dipelihara melalui sikap saling menghormati dan bukannya provokasi serta permusuhan.




Comments