top of page

Isu ‘lighad’: Jangan memperolok ayat, kesucian al-Quran mesti dipelihara - Dr Zulkifli

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
1 hour ago
1 min read
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menegaskan kesucian al-Quran sebagai sumber utama ajaran Islam mesti sentiasa dihormati dan dipelihara susulan isu tular yang mengaitkan perkataan “lighad” daripada Surah al-Hasyr, ayat 18.


Menterinya, Senator Dr Zulkifli Hassan, berkata tindakan memperolok-olokkan lafaz suci al-Quran merupakan perbuatan tidak bertanggungjawab yang boleh menyentuh sensitiviti umat Islam.


Menurutnya, perkataan “lighad” (لِغَدٍ) membawa maksud “hari esok” dan dalam konteks ayat berkenaan merujuk kepada persediaan manusia untuk kehidupan akhirat.


"Lafaz ini mempunyai makna tersendiri dalam al-Quran dan tidak wajar diputarbelitkan atau dijadikan bahan sindiran yang mengaitkannya dengan perkataan lain sehingga menimbulkan penghinaan terhadap agama," katanya dalam kenyataan.


Sehubungan itu, Zulkifli menyeru semua pihak supaya memahami makna dan konteks sebenar ayat al-Quran serta mengelakkan sebarang bentuk persendaan terhadap lafaz sucinya.


Beliau berkata, sikap saling menghormati dan bertanggungjawab ketika berkomunikasi amat penting bagi memelihara kesucian agama serta keharmonian masyarakat berbilang agama di negara ini.


Katanya, kebebasan berkomunikasi perlu disertai kesedaran terhadap sensitiviti agama supaya perbezaan pandangan tidak mencetuskan ketegangan dalam masyarakat.


"Sekiranya terdapat unsur penghinaan terhadap agama Islam, perkara tersebut hendaklah dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan untuk penelitian dan tindakan sewajarnya mengikut undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.


Zulkifli menegaskan, pemeliharaan kesucian al-Quran dan keharmonian ummah memerlukan komitmen semua pihak untuk mengamalkan sikap saling menghormati serta mengelakkan kenyataan yang boleh menyinggung sensitiviti agama.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page