Program pelatihan dan pengkaderan anggota baharu sangat penting untuk meningkatkan keupayaan Cabang KEADILAN dalam menghadapi pilihan raya dengan menyediakan jentera yang kuat.
Menurut mantan Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Gombak, Ammirul Azahar, kedua dua aspek itu perlu ditekankan ke atas AMK Cabang Gombak dalam menghadapi cabaran BN dan Perikatan nasional yang semakin mengasak.
"Melalui program pelatihan dan pengkaderan, parti dan sayap AMK dapat memastikan idealisma dan roh perjuangan Reformasi dapat diterapkan sebaiknya, anggota baharu dapat menghayati dan mendalami perjuangan yang dicetuskan oleh pengasas parti ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya dalam Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Gombak, baru baru ini.
Pada masa yang sama, beliau turut menyeru kepada anggota parti untuk melihat kembali naratif politik dalam memastikan undi Melayu dapat dirangkul kembali kerana ianya akan memastikan kemenangan Pakatan Harapan dan KEADILAN pada PRU 15 yang dijangka tidak lama lagi.
"Dalam kita memastikan undi kaum Cina dan India teguh kepada KEADILAN, parti juga harus berusaha untuk mendapatkan undi dan kepercayaan orang Melayu untuk mengundi KEADILAN.
"Kerana kaum Melayu adalah kaum terbesar dan semestinya hasrat dan suara mereka menjadi yang terpenting untuk diangkat pada PRU15 kali ini," katanya lagi.
Comentários