Perkasakan Parlimen Belia sebagai tapak pemimpin masa depan - Johari
- Suara Keadilan

- Jun 11
- 1 min read

Peranan Parlimen Belia Malaysia perlu diperluas agar menjadi platform yang lebih berkesan dalam membentuk barisan kepimpinan masa depan negara.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul berkata, walaupun Parlimen Belia kini berfungsi sebagai medium perbincangan isu belia dan dasar negara, pendekatannya boleh disusun semula bagi melahirkan golongan muda yang benar-benar bersedia menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
"Tujuannya sekarang adalah untuk memupuk pemimpin belia, tetapi saya berharap suatu hari nanti mereka akan benar-benar menjadi ahli Parlimen dan memimpin negara," katanya dipetik.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri program Wacana Kepimpinan di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), kampus Gambang pada Selasa.
Johari sementara itu turut memaklumkan pihaknya telah pengenalan program Sekolah Parlimen yang dijalankan dengan kerjasama sekolah menengah luar bandar.
Program tersebut jelasnya bertujuan memupuk minat dan kefahaman awal pelajar terhadap institusi Parlimen serta proses perundangan negara.
"Lawatan ke Parlimen memberi mereka inspirasi dan membuka pandangan tentang potensi diri. Kita mahu mereka yakin bahawa dengan usaha dan kerja keras, mereka juga berpeluang menjadi pemimpin," tambahnya.
Dalam masa sama, beliau berpandangan bahawa golongan muda negara ini wajar didedahkan dengan pelbagai sistem demokrasi global sebagai asas pertimbangan untuk masa hadapan.









Comments