top of page

Perkasa budaya dialog: Jika yakin dengan pendirian, mengapa takut dialog? - Anwar

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 days ago
  • 2 min read
DS Anwar mahu budaya dialog menjadi keutamaan bagi mendapatkan gambaran sebenar keperluan rakyat
DS Anwar mahu budaya dialog menjadi keutamaan bagi mendapatkan gambaran sebenar keperluan rakyat

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan budaya dialog perlu terus diperkasakan kerana menjadi asas kepada pembinaan kefahaman, percambahan idea serta penyelesaian yang lebih baik dalam masyarakat.


Beliau berkata, masyarakat yang matang seharusnya melihat perbezaan pandangan sebagai peluang untuk bertukar idea, bukannya alasan untuk bermusuhan atau mengelakkan perbincangan.


"Budaya dialog harus terus subur kerana di situlah lahirnya kefahaman, percambahan fikiran dan penyelesaian yang lebih baik.


"Dalam masyarakat yang matang, perbezaan pandangan bukan alasan untuk menjauh, apatah lagi untuk mengelak," katanya.


Beliau berkata demikian dalam hantaran di media sosial selepas menyampaikan ucapan pada sesi Dialog Belia Johor di FELDA Ulu Tebrau, Johor, malam tadi.


Anwar berkata, ruang untuk berdialog pada masa kini semakin terbuka dan semua pihak perlu berani tampil mempertahankan pandangan masing-masing berasaskan fakta serta hujah yang kukuh.


"Hari ini, ruang untuk berdialog terbuka luas dan yang diperlukan hanyalah keberanian untuk hadir dan mempertahankan hujah dengan fakta serta keyakinan.


"Jika benar yakin dengan pendirian sendiri, mengapa perlu takut untuk berdialog?" katanya.


Saranan Anwar mungkin juga ditujukan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz yang masih berdiam diri setelah dicabar oleh calon PH DUN Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik untuk berdebat atau berdialog isu isu semasa di Johor.


Dalam sesi sama, Anwar juga menggesa pengundi di DUN Puteri Wangsa memberi peluang kepada Dr Maszlee Malik untuk mewakili mereka.


Beliau menyeru agar sokongan padu diberikan kepada Dr Maszlee untuk berkhidmat di DUN berkenaan, mewakili suara penduduk ke Kerajaan Negeri dan Persekutuan.


Untuk rekod, Datuk Seri Anwar dalam siri jelajah Johor pada 4 dan 5 Julai bagi membantu kempen calon PH di seluruh negeri.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page