Oleh Noraini Nordin
Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan mendakwa para pemimpin PN termasuk pengerusinya Mahiaddin Yassin adalah pembohong sebenar kepada rakyat negara ini.
Kata beliau, sementara PN sibuk menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pembohong, hakikat mereka sendiri yang kerap berbohong.
Beliau mengimbau ketika berkempen Pilihan Raya Umum ke 15 lalu, antara yang dituduh, jika Anwar menjadi Perdana Menteri kedudukan Islam di negara ini akan terancam, perkahwinan LGBT dibenarkan, murid sekolah tidak lagi diwajibkan bertudung, sebaliknya hanya dikehendaki memakai skirt, negara akan dikomuniskan serta macam-macam lagi.
"Sekarang setelah Anwar menjadi Perdana Menteri, adakah semua yang dituduh itu berlaku?
"Adakah surau dan masjid ditutup, berlakukah perkahwinan sejenis, adakah murid sekolah dilarang bertudung dan adakah negara sudah bertukar menjadi komunis?" tanya beliau dalam ceramah Perpaduan Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai malam tadi.
Sany menegaskan, berikutan tiada satu pun yang dituduh itu menjadi kenyataan bermakna pemimpin PN adalah pembohong sebenar kepada seluruh rakyat.
Sehubungan itu, beliau meminta pengundi P 161 Pulai menolak pembohongan PN itu dan tidak sama sekali memberi undi kepada calon gabungan tersebut pada 9 September akan datang.
Katanya lagi, budaya politik yang dibawa dan disemai PN iaitu berbohong, menipu, menakut-nakutkan kaum dan mengadu domba adalah merbahaya kepada masa depan negara serta harus ditolak oleh rakyat.
"Kita sudah merdeka lebih 66 tahun, sepatutnya budaya politik seperti itu sudah tiada lagi dalam negara ini.
"Kita patut berpolitik dengan politik matang, sejahtera dan keutamaan adalah membela rakyat serta memajukan negara," tambahnya lagi.
Comments