top of page

Kemelut Perlis: Perjuangan siasah Islam cacat jika dipusatkan kepada politik Pas

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 4 hours ago
  • 2 min read
ree

Oleh: Akmal Manaf


Perjuangan Islam tidak boleh disempitkan kepada politik kepartian semata-mata memandangkan perjuangan Islam itu wujud dalam pelbagai ragam dan pendekatan.


Pengarah Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama KEADILAN, Amidi Abdul Manan (gambar) berkata, pandangan terbaharu yang dikemukakan oleh Tan Sri Abdul Hadi Awang di ruangan 'Minda Presiden', memperlihatkan kekeliruan yang jelas terhadap perjuangan Islam.


"Dakwaan Pas sebagai satu-satunya organisasi yang konsisten memperjuangkan Islam adalah satu dakwaan yang cacat. Hj Hadi mencacatkan perjuangan Islam apabila dia mengehadkan bentuk perjuangan Islam hanya dalam acuan parti politik semata-mata.


"Perjuangan Islam wujud dalam pelbagai ragam dan pendekatan. Cakupan Islam yang luas akan terencat jika kita hanya melihat perjuangan Islam dalam kerangka politik semata-mata.


"Atas sebab Pas yang didakwa sebagai satu-satunya entiti yang memperjuangkan Islam, maka segala ketaatan mestilah dicurahkan kepada Pas.


"Menyamakan agama dan dalam konteks ini, Islam dengan parti politik, jelas memperlihatkan pemikiran yang taksub dan jauh dari rasional," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Menguas perkembangan politik Perlis, Amidi berkata, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail cukup prihatin dengan perihal kemajuan negeri dan kebajikan rakyat jelata.


Malangnya, kepimpinan Menteri Besar Pas sebelum ini, Mohd Shukri Ramli kurang kaliber dan banyak kelemahan.


"Wujud rasa kurang senang dengan kepimpinan Cikgu Shukri selaku Menteri Besar dan baginda mahukan sesuatu dilakukan bagi menjaga kepentingan negeri Perlis.


"Saya yakin perkara ini dalam pengetahuan pucuk pimpinan Pas namun tiada tindakan yang secukupnya diambil. Satu demi satu isu timbul yang berpunca dari kelemahan kepimpinan Cikgu Shukri.


"Baginda tidak boleh berdiam dan mahukan perubahan dilakukan. Baginda memikirkan rakyat Perlis secara keseluruhan, tetapi Hj Hadi hanya memikirkan kepentingan politik Pas semata-mata," katanya.


Tambah Amidi, politik Pas tidak wajar meneruskan ciri feudal yang mana ahli parti perlu taat terhadap apa sahaja keputusan pimpinan dan tidak boleh mengkritik.


"Bagi Hj Hadi, ketaatan 'total' yang diwakili oleh kepatuhan terhadap bai'ah adalah lebih diperlukan oleh perjuangan Islam berbanding titah Tuanku yang mewakili kepentingan rakyat Perlis.


"Jangan hadkan kepimpinan Islam hanya kepimpinan yang berwala'kan Hj Hadi, tetapi ketaatan kepada Raja juga terangkum dalam kepimpinan Islam khususnya di negara kita," ujar beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page