Perjuangan PMX bantu rakyat Palestin perlu disokong semua pihak - KEADILAN Perak
- Suara Keadilan
- 16 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) bukan baharu dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin, sebaliknya konsisten sejak sekian lama termasuk ketika berada dalam pimpinan muda dan sewaktu berada di pihak pembangkang.
Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Perak, Amir Sabri (gambar) berkata, Anwar sejak dahulu lagi telah menghantar wakil serta staf beliau untuk bekerjasama antaranya dengan pertubuhan kemanusiaan seperti Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bagi menyalurkan bantuan secara langsung ke Palestin.
Maka, katanya, rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama perlu menyokong usaha terkini PMX membantu Palestin sama ada menyuarakan isu kekejaman Israel di Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Qatar baru baru ini atau dengan menaungi misi menghantar bantuan keperluan asas dari Nusantara melalui gerakan Flotila Global Sumud.
"Apabila Datuk Seri Anwar kini bergelar Perdana Menteri, sokongan beliau bukan lagi bersifat peribadi, tetapi datang daripada seorang pemimpin negara.
"Bila seorang pemimpin negara bercakap tentang Palestin, dunia memberi perhatian.
"Kalau kita tengok hari ini sudah banyak pihak, misalnya pempengaruh dan orang ramai sudah mula bersama untuk memberi kesedaran. Kita perlu menyebarluas maklumat inisiatif ini.
"Sebagai anggota parti KEADILAN saya berharap semua memberi sokongan penuh supaya tidak kelihatan Perdana Menteri ni hanya bergerak seorang, namun KEADILAN sendiri kukuh dan konsisten dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin," kata Amir Sabri kepada Suara Keadilan.
Jelasnya, suara Malaysia di pentas antarabangsa semakin ketara apabila Anwar membawa isu Palestin dalam semua persidangan utama dunia sama ada BRICS, ASEAN, Selatan Global atau di peringkat Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu.
"Perdana Menteri tidak pernah menjadikan Palestin sebagai isu politik domestik.
"Ia adalah perjuangan berterusan yang membuktikan konsistensi beliau sejak dahulu," ujarnya.
Tambah Amir, pelancaran inisiatif Sumud baru-baru ini turut menjadi titik penting untuk menggerakkan lebih ramai pihak menyertai usaha solidariti, termasuk parti politik dan masyarakat sivil, namun, sokongan rakyat di peringkat akar umbi juga amat diperlukan.
"Kerajaan telah melaksanakan dasar dan program antarabangsa. Kini rakyat pula perlu mainkan peranan sama ada melalui sumbangan, kempen kesedaran di media sosial atau sokongan moral.
"Isu Palestin bukan hanya soal agama, tetapi soal kemanusiaan. Semua bangsa dan agama perlu berganding bahu bersama-sama," katanya.
Tambah beliau lagi, ahli-ahli parti termasuk KEADILAN dan seluruh penyokong Kerajaan Perpaduan harus berdiri teguh di belakang Perdana Menteri agar perjuangan ini tidak dilihat sebagai usaha individu, sebaliknya komitmen kolektif sebuah negara.
Terdahulu, aktivis Kemanusiaan, Nadir Al-Nuri Kamaruzaman memaklumkan, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah patron (penaung) untuk misi Sumud Nusantara yang menjadi sebahagian daripada konvoi kemanusiaan global membawa mesej solidariti ke Gaza melibatkan aktivis lebih dari 44 buah negara.
Nadir berkata, bukan sekadar menjadi penaung, Perdana Menteri juga mengumumkan pakej bantuan bernilai RM24 juta untuk Palestin daripada Malaysia bagi menyertai Flotila Global Sumud sebagai simbol solidariti rakyat antarabangsa menuntut sekatan ke atas Gaza dihentikan serta menamatkan penderitaan berjuta penduduk Palestin.