top of page

Perjuangan PH berhasil: DBKL laksana mesyuarat bulanan bersama Ahli Parlimen Wilayah

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Dec 29, 2022
2 min read


Perjuangan Pakatan Harapan untuk melaksanakan mesyuarat bulanan antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Ahli ahli Parlimen Wilayah Persekutuan sejak dua dekad lalu akhirnya terlaksana pada bulan hadapan


Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengarahkan pihak DBKL untuk mengadakan mesyuarat bulanan secara tetap antara Datuk Bandar Kuala Lumpur dengan wakil wakil rakyat tanpa mengira pihak kerajaan atau pembangkang bagi membolehkan pengurusan tertinggi DBKL mendengar secara lebih dekat permasalahan yang berlaku di ibu kota.


"Wakil rakyat adalah jambatan penghubung antara agensi kerajaan dan rakyat marhaen.


"Amatlah penting Datuk Bandar dan pihak pengurusan tertinggi DBKL mendengar dan berbincang dengan wakil rakyat untuk mencari jalan mengatasi masalah yang timbul demi kesejahteraan warga Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan.

Nga bersama Datuk Bandar Mahadi Che Ngah

Pada Rabu Nga menerima kunjungan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah di pejabatnya di Putrajaya.


Dalam pertemuan itu Nga membangkitkan beberapa perkara untuk perhatian Mahadi.


Beliau mengarahkan DBKL supaya meningkatkan pencahayaan di kawasan tumpuan pelancongan, di samping meraikan kepelbagaian budaya.

"DBKL digalakkan mengadakan kerjasama bersama pihak swasta supaya tempat strategik ini setaraf dengan jalan ikon bandar raya di dunia seperti Oxford Street di London, Orchard Road di Singapore dan Ginza Street di Tokyo.


"Pemasangan lampu hiasan LED yang menjadi tumpuan pelancong wajar diadakan pada setiap musim perayaan termasuk Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Hari Deepavali dan Hari Krismas supaya ia benar-benar sepadan dengan slogan pelancongan negara 'Malaysia, truly Asia'," katanya.


Bagi keselesaan warga Kuala Lumpur, beliau turut meminta pihak DBKL merancang usaha untuk memperkasakan PBT itu dan melaksanakan kerja pembersihan serta penyediaan trek, termasuk untuk joging dan laluan basikal.


Beliau turut membangkitkan masalah banjir kilat di 25 hotspot (titik panas) banjir dan mahu DBKL mencari penyelesaian tuntas bagi mengatasi masalah yang bukan sahaja merunsingkan rakyat, malah menjejaskan imej ibu kota itu.


"Antara penyelesaiannya adalah dengan memberi perhatian khusus kepada projek tebatan banjir dan kerja penyelenggaraan sistem perparitan," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page