Perjuangan KEADILAN melangkaui perkauman - Anwar Ibrahim


Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya perjuangan parti KEADILAN yang diterajuinya melangkaui perjuangan mana-mana parti yang hanya memperjuangkan hak sesebuah kaum.


Presiden KEADILAN itu berkata, meskipun Tun Dr Mahathir Mohamad bebas untuk mengasaskan sebuah lagi parti yang memperjuangkan hak Melayu dan Bumiputera, pendekatan tersebut dianggap sudah lapuk ditelan zaman.


“Ini negara demokratik, rakyat bebas menubuhkan apa-apa jenis parti yang tidak melanggar peraturan. Bagaimanapun, saya mewakili KEADILAN, sebuah parti yang memperjuangkan reformasi dan keadilan, ia melangkaui perjuangan satu kaum yang saya anggap satu pemikiran lapuk kerana banyak lagi perjuangan lain selain parti berasaskan kaum.


“Selepas 60 tahun merdeka, untuk menjadi sebuah masyarakat yang matang, impian saya adalah memastikan orang Melayu berasa selamat dengan haknya, kehormatan dan maruahnya, manakala kaum Cina, India, Dayak dan Kadazan merasakan ini adalah negara mereka dan perlu diberi hak, tanggungjawab dan kelebihan.


"Sebab itu, saya kekal komited dengan agenda pelbagai kaum," katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyertai program Malaysian Student Leaders’ Summit (MSLS) yang dianjurkan oleh Majlis Pelajar Malaysia United Kingdom dan Eire (UKEC).


Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menyeru rakyat supaya tidak terjerat dengan sentimen perkauman, sebaliknya bangkit menolak korupsi, rasuah dan penyelewengan.


"Pakatan Harapan (PH) menolak Barisan Nasional (BN) yang korup dan lapuk dengan perjuangan perkauman. Kita berjaya memperjuangkan isu 1MDB tetapi ia tidak berakhir begitu sahaja.


"Kadang-kadang kita keliru sama ada mahu terus menolak sentimen perkauman atau turut sama bermain dengan isu perkauman.


"Kita perlu belajar daripada pengalaman lalu, bagaimana amalan korupsi dan perkauman sudah lapuk, sebaliknya kita perlu bergerak ke hadapan sebagai satu pasukan. Namun perkara ini memerlukan perubahan dalam sistem pentadbiran negara.


"Apabila kita bercakap mengenai kesatupaduan, ia mesti atas niat yang murni seperti menegakkan keadilan, memperjuangkan hak dan belas kasihan. Ia sekali gus melangkaui semangat perkauman dan masyarakat yang berpuak-puak," katanya.


Anwar juga mengakui KEADILAN sentiasa berdepan dengan cabaran sebagai perjuangan parti.


"Kita tidak boleh abaikan fakta bahawa tidak semua Melayu Bumiputera jatuh pada kategori B40. Kadang-kadang ada pihak mempunyai sindrom penafian bahawa banyak isu memberi kesan besar kepada orang Melayu, sebab itu orang gemar bermain sentimen perkauman.


"Tetapi masyarakat masih cukup terkesan dengan jurang kemiskinan dan ketidakadilan, sebab itu kita harus menolak mereka yang berpura-pura mewakili majoriti masyarakat tetapi mengkayakan kroni-kroninya.


"KEADILAN memperjuangkan hak semua kaum, juarakan hak semua orang, terus berjuang untuk semua kaum, kita takkan biarkan mana-mana pemimpin terus bermain dengan api perkauman, sebab ini bukan ciri-ciri keadilan," katanya.

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio