Perjuangan reformasi dan seterusnya parti KEADILAN berteraskan politik nilai. Dengan asas itu rakyat menghormati perjuangan KEADILAN dan memberi peluang memerintah negara pada Pilihan Raya Umum ke 14.
Bagi calon naib presiden, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, anggota yang mengakui menggalas perjuangan politik nilai itu seharusnya berjiwa besar, tahan dikritik dan tidak cepat putus asa.
"Parti berasaskan nilai, saya percaya dalam pemilihan hal inilah perlu kita kembangkan. (Sokong) pimpinan yang kita rasa boleh buat betul, buat baik. Sedangkan lidah tergigit, inikan kita dalam organisasi besar 1.2 juta anggota.
"Tetapi jangan bila bagi pendapat, kau tak setuju dengan aku, terus pergi. Jangan. Beza pendapat mesti ada dalam mesyuarat. Sebab itu kalau lihat beberapa siri ucapan Datuk Seri Anwar baru baru ini, menekankan prinsip 'bermesyuarat di kalangan kita'. Lepas itu kita buat keputusan. Walau keputusan itu tidak memihak kepada kita.
"Berapa banyak mesyuarat, undi, sebahagian sokong sebahagian lain tidak. Jadi nilai yang baik ini kita cuba terapkan dalam pemilihan parti kali ini," katanya dalam majlis sambutan Aidilfitri #KitaSemuaKEADILAN di cabang Pandan, petang tadi.
Menurut Shamsul, pemilihan kali ini juga amat penting buat maruah Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana inilah Pilihan Raya Umum (PRU) pertama kali beliau 'masuk perang' selaku presiden parti.
"Kali ini pemilihan parti bukan main main. Kita mesti buat pilihan yang betul. Konteks kita berbeza, 2013 berlaku PRU pemilihan parti 2014, 2018 berlaku PRU kita jadi kerajaan, hujung tahun itu kita buat pemilihan.
"Sekarang pemilihan parti dulu, PRU kalau Ismail ikut cakap pimpinan Umno dia akan bubar Julai. Sebab itu kita bila bergerak di cabang Pandan ini, mencari anggota untuk undi atas talian, undi fizikal maka sewajarnya kita manfaatkan ini secara serampang dua mata. Cari anggota, daftar dia, tahu dia di mana, supaya nanti bila PRU dia akan terus jadi jentera parti.
"Saya kata penting, bukan sahaja cabang tetapi juga pusat kerana pertama kali Datuk Seri Anwar menjadi presiden. Beliau akan sain watikah, dia akan jadi jeneral masuk PRU 15. Saya percaya anggota di Pandan matang dan boleh berfikir," katanya.
Ketua Penerangan KEADILAN pusat itu juga menjelaskan antara Rafizi Ramli dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tidak banyak berbeza dari segi daya intelektual, namun Saifuddin mempunyai kelebihan dari segi kesetiaan dan emosi yang tenang memimpin serta membina semula parti selepas huru hara akibat Langkah Sheraton pada 2020 lalu.
"Tak kan Datuk Saifudin dan Rafizi pun masih was was (beri sokongan). Sabahat kita (Rafizi) pandai, Datuk Saifudidn juga bijak. Tetapi kelebihan Saifuddin ialah emotional intelligence. Orang yang lebih sabar, tenang berdepan krisis dan tidak cepat koyak, merajuk.
"Dia bukan timbalan nak lawan presiden, dia melengkapi presiden. Suka tidak suka kita harus akui satu hakikat waktu parti berdepan krisis 2020, ramai berkhianat, Saifuddin hilang jawatan menteri tetapi tetap kekal setia bersama KEADILAN.
"Oleh kerana pertandingan ini saya anggap pertandingan adik beradik maka saya bebas kritik. Pada saya kita nak promote nilai yang baik. Saya harap rakan rakan akan buat pilihan yang baik," katanya.
Shamsul turut mengingatkan agar anggota cabang Pandan tidak lupa mengundi beliau calon nombor 17.
"Akhirnya, setiap yang awal ada akhir. Saya naib presiden yang terakhir sekali nombor 17. Nombor 1 abang saya Abdullah Sani.
"Dalam program kalau tak tutup tak sah. Jangan lupa tekan nombor 17, kalau tak tak tutup," guraunya.
Comments