Perjuangan 25 tahun berhasil laksana perubahan politik - KEADILAN Sarawak
- Redzuan Shamsudin
- Apr 6, 2024
- 2 min read

Tempoh perjuangan 25 tahun KEADILAN telah membuahkan hasil dengan berlakunya perobahan politik menobatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke 10 pada November 2022.
Bagi Pengerusi KEADILAN Sarawak, Roland Engan, hal itu merupakan pencapaian cemerlang para pejuang reformasi yang tidak kenal penat atau jemu berjuang sepanjang 2 dekad.
Katanya, KEADILAN telah berjaya sebagai parti mutliracial pertama berjaya mentadbir negara.
"Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sarawak mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh pimpinan, aktivis, anggota dan penyokong atas kejayaan meneruskan perjuangan parti sempena ulang tahun ke 25.
"Perjuangan KEADILAN jelas mengubah landskap politik tanah air yang selama ini merupakan politik berasaskan politik identiti (kaum, agama dan wilayah) ke politik berasaskan prinsip, keperluan rakyat dan yang berbilang kaum, agama, bahasa dan wilayah.
"Perjuangan KEADILAN telah melalui pelbagai liku, hiruk pikuk dan warna warni politik menjadikan parti ini semakin matang dalam pelbagai aspek perjuangan.
"Kunci kelangsungan perjuangan ialah semangat berpasukan yang padu ke arah misi yang jelas untuk urustadbir negara iaitu melaksanakan agenda reformasi," katanya dalam satu kenyataan.
Roland seterusnya menyoal apakah agenda besar KEADILAN seterusnya selepas berjaya menobatkan seorang PM dan sebilangan Menteri di Putrajaya.
Katanya, anggota parti perlu melihat kembali perjuangan panjang 25 tahun lalu untuk mencorakkan cita cita ke arah dua dekad ke hadapan.
"Ke mana halatuju negara yang dipimpin Kerajaan di mana KEADILAN dan Pakatan Harapan ialah tulang belakangnya? Apakah langkah awal kita selepas ulang tahun ke 25 parti untuk mencorakkan negara dengan warna matlamat perjuangan KEADILAN?
"MPN Sarawak mencadangkan agar agenda reformasi mulai digerakkan dari dalam parti. Contohnya, sebagai parti politik nasional yang merentasi 3 wilayah dalam negara (Malaya, Sabah dan Sarawak), tiba waktunya untuk kapasiti parti dalam perjuangan keadilan untuk semua rakyat diperluaskan melalui pindaan perlembagaan parti.
"Pindaan yang perlu dipertimbangkan segera ialah pindaan ke atas struktur pimpinan parti yang mengambikira semangat keadilan yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan penambahan pada matlamat perjuangan parti," katanya.
Tambah Roland, parti seharusnya diperkasakan secara berterusan agar kekal relevan sebagai Kerajaan berteraskan agenda reformasi.
Untuk itu MPN Sarawak, kata beliau, bertekad bersama pimpinan dan anggota parti untuk bersunguh-sungguh meneruskan perjuangan panjang di hadapan agar misi menegakkan keadilan di seluruh Sarawak tercapai.
Comments