top of page

Perjanjian tarif AS-Malaysia batal, naratif 'jual negara' tidak relevan

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Pengesahan kerajaan bahawa perjanjian perdagangan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) terbatal menepis dakwaan kononnya Kerajaan Madani “menjual negara” kepada kuasa asing sebagaimana dimainkan pembangkang sejak tahun lalu.


Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, David Cheong Kian Young berkata keputusan tersebut membuktikan kerajaan menilai setiap rundingan perdagangan secara teliti dan berasaskan kepentingan nasional dan bukannya tunduk kepada tekanan mana-mana pihak.


"Keputusan ini menunjukkan kerajaan menilai setiap rundingan perdagangan berdasarkan kepentingan negara. Jika sesuatu perjanjian tidak memberi manfaat jelas kepada Malaysia, kerajaan berhak untuk tidak meneruskannya," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.


Semalam media tempatan melaporkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dimeterai antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) pada Oktober tahun lalu tidak lagi terpakai berikutan keputusan Mahkamah Agung AS membatalkan sebahagian besar langkah tarif menyeluruh yang sebelum ini diperkenalkan oleh Presiden Donald Trump.


Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dipetik sebagai berkata, ART dimeterai pada tahun lalu menyaksikan Malaysia dikenakan kadar tarif 19 peratus, namun buat masa ini tarif sementara dikenakan ke atas Malaysia hanya 10 peratus.


Menurut David Cheong, naratif yang mendakwa kerajaan menjual kedaulatan negara hanyalah dakwaan tidak berasas yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.


Katanya, tuduhan sedemikian bukan sahaja tidak berpaksikan fakta malah berpotensi mencetuskan keresahan awam sekiranya terus dimainkan oleh pihak tertentu bagi tujuan politik.


"Sangat merisaukan jika pihak yang gemar mereka-reka naratif ini (pembangkang) memerintah negara. Semua perjanjian antarabangsa mesti dinilai secara profesional dan mengutamakan kepentingan negara, bukan emosi atau politik sempit," katanya.


David Cheong yang juga Pengerusi Biro Perpaduan Nasional KEADIALAN Selangor berkata, rundingan perdagangan antarabangsa lazimnya melibatkan pelbagai aspek strategik termasuk perlindungan industri tempatan, peluang pelaburan serta akses pasaran global.


Sehubungan itu, katanya kerajaan perlu memastikan setiap perjanjian yang dimeterai benar-benar memberi manfaat ekonomi kepada negara dan rakyat.


"Peluang ekonomi mesti memberi manfaat kepada negara dan rakyat. Jika tidak, adalah wajar untuk kerajaan menilai semula atau tidak meneruskan rundingan tersebut," ujarnya.


Beliau menegaskan keputusan untuk tidak meneruskan rundingan dengan Amerika Syarikat itu membuktikan kerajaan tidak tunduk kepada tekanan mana-mana kuasa besar dalam menentukan dasar perdagangan negara.


"Kepentingan Malaysia kekal menjadi keutamaan dalam setiap keputusan dasar."


Dalam pada itu, David Cheong menggesa orang ramai supaya menilai isu berkenaan yang dipropagandakan pembangkang secara rasional dan berpandukan fakta, bukannya terpengaruh dengan naratif politik tidak berasas.


"Rakyat wajar menilai isu ini berdasarkan fakta dan maklumat yang tepat, bukan mempercayai naratif yang tidak berasas," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page