Hasil, sebarkan kandungan provokatif berkait 3R akan diambil tindakan - MCMC
- Suara Keadilan

- 2 minutes ago
- 1 min read

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan amaran tegas kepada semua pihak agar tidak menghasilkan atau menyebarkan kandungan berkaitan isu kaum, agama dan institusi diraja (3R) yang bersifat provokatif atau menghasut kebencian.
Menurut kenyataan Komunikasi Korporat MCMC, pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian dan platform dalam talian yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
"MCMC memberi amaran tegas kepada semua pihak supaya tidak menghasilkan atau menyebarkan kandungan berkait isu kaum, agama dan institusi diraja (3R) khususnya yang bersifat provokatif, menghina, menghasut kebencian atau boleh mencetuskan ketegangan awam," kata kenyataan itu.
MCMC turut menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada sebelum berkongsi sebarang maklumat di platform digital.
Dalam masa sama, suruhanjaya itu memaklumkan akan bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia serta agensi berkaitan untuk memantau dan mengambil tindakan terhadap pelanggaran undang-undang.
Menurut MCMC, individu yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Pesalah boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan hukuman denda hingga RM500,000, penjara dua tahun atau kedua-duanya," katanya.
Selain itu, MCMC turut memberi peringatan kepada penyedia platform digital agar mematuhi undang-undang serta bekerjasama dalam mengekang penyalahgunaan perkhidmatan.
"MCMC turut mengambil tindakan terhadap penyedia platform yang tidak memberi kerjasama dan mengingatkan mereka supaya mematuhi undang-undang serta mencegah penyalahgunaan perkhidmatan," kata kenyataan itu lagi.




Comments