Dakwaan kononnya Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim merebut sokongan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) agar Tun Mahathir Mohamad tidak menjadi Perdana Menteri (PM) ke 8 dinafikan oleh mantan Senator, Datuk Husam Musa.
Menurut Husam yang agak rapat dengan Mahathir pada peringkat awal kerjasama PH, terdapat perjanjian rasmi mengenai penyerahan kuasa antara Tun dan Anwar, iaitu dijanjikan selepas 2 tahun beliau menjadi PM.
Oleh itu Ahli Parlimen PH apatah lagi Anwar, kata Husam, tidak boleh dipersalahkan kerana tidak menyokong Tun untuk menjadi PM ke 8 setelah beliau meletak jawatan pada Februari 2020.
"Tun kata kalau PH sokong dia hari tu dia akan jadi PM sekali lagi.
"Bukankah Tun sudah janji dan tandatangan perjanjian (tempoh berkuasa)? Saya jadi saksi kerana saya yang sediakan perjanjian itu.
"Dalam perjanjian itu Tun kata dia setuju jadi PM 2 tahun sahaja. Tak timbul masalah orang undi dia lagi (lepas letak jawatan) jadi PM.
"Sebab dia pun dah bersetuju jadi PM selama 2 tahun. 22 bulan (tempoh kerajaan PH) dah dekat 2 tahun," katanya dalam sidang media petang tadi.
Sebelum itu, menurut Husam, Tun Mahathir berusaha memujuk Anwar untuk membenarkan dirinya menjadi PM dengan perantaraan Nurul Izzah Anwar.
Husam mengaku beliau telah diminta untuk menjadi saksi dalam pertemuan antara Tun dan Nurul Izzah di rumah Tun sendiri.
"Dalam perjumpaan itu Tun pakai pakaian paling kemas, iaitu sut ala Nehru (pemimpin kemerdekaan India). Dia jarang jarang pakai. Dia pakai waktu berunding dengan Nurul Izzah.
"Saya diminta menemankan perundingan itu. Dalam perundingan Tun bersetuju untuk dia jadi PM dan kemudian beri pada Anwar," ujarnya.
Bagaimanapun, kata Husam, apabila Tun berdolak dalik mengenai tarikh beliau akan mengundurkan diri pada pertengahan 2019 Anwar tidak pula mendesak Tun segera menunaikan janji.
Malah katanya, dalam mesyuarat terakhir PH berhubung peralihan kuasa pada Februari 2020 Anwar tidak menunjukkan sikap mendesak sebaliknya memberi sokongan kepada Tun meneruskan pemerintahan.
"Kena ingat mesyuarat PH yang terakhir pada Februari 2020 yang Tun keluar dengan sidang media, 'semua setuju saya jadi PM tak tentu bila tarikh saya berhenti'. Dia gembira.
"Dalam mesyuarat itu Anwar sendiri kata, Tun kamu teruskan sebagai PM saya akan sokong kamu. Jangan bincang lagi mengenai had peralihan kuasa. Kita sokong, tak ada masalah. Tetapi kemudian dia letak jawatan (juga)
"Dia letak jawatan dengan tidak cerita kepada sesiapa, tidak cerita dengan PH. Tiba tiba dia hantar surat letak jawatan," katanya.
Tegas mantan Exco Kelantan itu, masalah timbul sebaik sahaja kerajaan jatuh apabila Tun tidak mahu berkomunikasi dengan PH.
Malah pada hari Ahli Parlimen PH mahu menghadap Yang di-Pertuan Agong sekali pun, Mahathir yang diundang untuk menghadiri mesyuarat bersama PH memilih tidak hadir.
"Kita pun keliru. Kita nak bubuh nama Tun, dia letak jawatan tak nak jadi PM. Kita terpaksalah memberikan undi kepercayaan kepada Anwar sampai dia dapat 92 undi.
"Bukan masalah PH, kerana Tun tak ada komunikasi pada masa itu
"Saya bentangkan perkara ini supaya di kemudian hari fakta sebenar tentang perkara itu dapat dicatitkan. Saya antara saksi perkara tersebut," katanya.
Kelmarin timbul serangan terbaharu Tun Mahathir kepada Anwar kononya telah merebut sokongan 92 Ahli Parlimen PH untuk menjadi PM ke 8.
Tun berkata beliau hanya mendapat 62 sokongan tetapi sekiranya sokongan tidak diberikan kepada Anwar maka beliau akan meraih majoriti besar dan kekal sebagai PM sehingga habis penggal.
Bagaimanapun beliau tidak pula menyentuh mengenai perjanjian peralihan kuasa antara dirinya dan Anwar sebelum Pilihan Raya Umum ke 14.
Itulah semasa beliau dilantik semula sebagai PM8, saya dah kata beliau tidak boleh dipercayai. Janji nak lepas tangan pada DSAI selepas dua tahun tapi lepas itu pushing pula dgn kata penyokongnya minta sambung hingga penggal habis. Janji apa itu? Pemimpin apa itu? Tiada intigriti dan tanggungjawab kpd rakyat yg MEMILIH mereka. "KATA MESTI DIKOTAI". Akibat sekarang mana orang nak percaya Walaupun sebagai PM 24 tahun. Tiada makna hidup begini!