top of page

Hujah Hj Hadi keliru: Minyak lalu Selat Hormuz atau tidak, tetap naik harga - Amidi

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung isu kenaikan harga minyak disifatkan mengelirukan sekali gus berpotensi mengaburkan kefahaman masyarakat awam mengenai isu tersebut.


Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BiPPA) KEADILAN, Amidi Abdul Manan mempersoalkan sama ada kekeliruan tersebut disengajakan atau sekadar dilontarkan tanpa sedar.


Beliau berkata, Hj Hadi berpandangan tiada sebab untuk kerajaan menaikkan harga minyak kerana kapal Malaysia tidak termasuk dalam senarai sekatan laluan di Selat Hormuz.

Menurut Amidi, itulah logik yang cuba diketengahkan oleh Ahli Parlimen Marang itu apabila mengaitkan kenaikan harga minyak dunia dengan gangguan laluan perkapalan susulan tindakan Iran.


"Jika itu alasannya, timbul satu lagi persoalan, Selat Hormuz adalah laluan bagi 20% minyak dunia. Maka 80% lagi minyak dunia bergerak melalui laluan lain dan tiada kena mengena dengan Selat Hormuz.


"Mengapa harga minyak dunia naik dengan mendadak walaupun sebahagian besarnya tidak melalui Selat Hormuz?


Amidi Abdul Manan
Amidi Abdul Manan

"Ia secara jelas terkait dengan jumlah bekalan yang dihasilkan oleh negara pengeluar serta kos operasi yang meningkat," katanya dalam satu kenyataan.


Jelas Amidi lagi, laporan media turut menyebut bahawa penurunan 30% pengeluaran minyak oleh negara Teluk memberikan kesan yang signifikan terhadap bekalan minyak dunia sekali gus menaikkan harga bahan api itu.


"Jelas sekali Haji Hadi keliru dalam mengeluarkan logiknya dan cuba mengelirukan masyarakat awam. Adakah kekeliruan ini disengajakan atau dikeluarkan tanpa sedar?


"Kegagalan memahami dan menilai satu-satu situasi boleh menimbulkan kesan negatif. Dalam hal ini, Haji Hadi cuba memberikan satu pandangan bahawa kenaikan harga minyak adalah hasil daripada kegagalan pengurusan kerajaan.


"Akhirnya bersemaraklah kebencian dan kemarahan yang boleh menggugat kestabilan politik negara yang mana akan menguntungkan politik sempit Pas," bidas beliau.


Amidi turut memetik tuntutan ayat 42, Surah Al-Baqarah yang melarang perbuatan mencampuradukkan perkara yang benar dengan yang salah, atau menyembunyikan kebenaran.


Dalam kenyataan Minda Presiden semalam, Abdul Hadi mendakwa tiada alasan untuk kerajaan menaikkan harga minyak kerana Malaysia bukan negara yang terlibat dengan sekatan Iran di Selat Hormuz.


Menurut beliau, Malaysia mempunyai telaga minyak dan gas sendiri serta masih banyak sumber lain yang boleh diselesaikan bersama dalam dunia Islam, khususnya negara jiran yang banyak sumber alamnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page