Dakwaan jemput UMNO ke Ijtimak dipersoal, Pas main politik persepsi?
- Suara Keadilan

- 11 minutes ago
- 2 min read

Dakwaan bahawa parti UMNO dijemput tetapi tidak hadir ke program Ijtimak Perpaduan Ummah yang dianjurkan Pas, kemudian UMNO Terengganu mengesahkan parti itu tidak menerima jemputan mencetuskan tanda tanya.
Menurut aktivis sosial Terengganu, Awang Muda, hal itu menimbulkan persoalan sama ada Pas mahu membina politik persepsi menggunakan isu jemputan berkenaan.
Katanya, naratif awal yang dibawa Pas dilihat cuba menggambarkan parti itu sebagai terbuka manakala UMNO pula seolah-olah tidak berminat terhadap usaha perpaduan.
"Namun, apabila UMNO Terengganu tampil dengan siaran media rasmi menafikan menerima jemputan, naratif Pas mula dipersoalkan.
"Jika benar jemputan dibuat di manakah bukti rasmi? Mengapa tiada pengesahan? Mengapa hanya selepas program selesai, barulah tuduhan dilemparkan?" katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, situasi itu memperlihatkan pola politik persepsi yang sering digunakan Pas.
"Dalam politik persepsi, Pas seolah-olah berada dalam keadaan ‘menang dua-dua’. Jika UMNO hadir, mereka mendakwa berjaya menyatukan umat. Jika tidak hadir, pihak lain pula dipersalahkan," katanya.
Beliau menyifatkan pendekatan itu bukan usaha perpaduan, sebaliknya lebih kepada “perangkap politik”.
Dalam masa sama, Awang Muda mempersoalkan keikhlasan Pas yang sering bercakap mengenai perpaduan namun pada masa sama terus mengkritik Kerajaan Perpaduan dan parti-parti lain.
"Persoalannya, bagaimana Pas mahu bercakap soal perpaduan jika Pas sendiri terus mencetuskan perpecahan?" tanyanya.
Manakala mengenai program berkenaan, beliau menyifatkan Ijtimak Perpaduan Ummah lebih menyerupai pentas politik berbanding platform penyelesaian isu rakyat.
"Tiada pelan ekonomi jelas, tiada resolusi konkrit dan tiada cadangan menangani kos sara hidup. Yang ada hanyalah retorik dan pidato emosi," katanya.
Tambahnya, perpaduan sebenar memerlukan tindakan dan penyelesaian terhadap masalah rakyat, bukan sekadar slogan politik.
"Rakyat hari ini semakin matang dan tidak lagi mudah terpengaruh dengan retorik. Mereka mahukan penyelesaian kepada isu ekonomi, peluang pekerjaan dan kos sara hidup," katanya.
Sehubungan itu, beliau mendakwa Pas lebih menumpukan kepada pembinaan persepsi perpaduan berbanding usaha sebenar untuk menyatukan rakyat.
"Hakikatnya, Pas tidak perlukan perpaduan sebenar. Pas hanya perlukan persepsi perpaduan untuk meraih keuntungan politik
"Apabila propaganda mula bercanggah dengan fakta, rakyat akan menilai siapa yang benar-benar ikhlas dan siapa yang sekadar bermain politik persepsi," katanya lagi.




Comments