
Perjanjian Malaysia atau MA63 yang diperkukuhkan melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan pada Disember 2021 lalu dilaksanakan ke atas kuasa kawalan gas di Sabah yang dipindahkan dari Persekutuan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkannya dalam sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri tengah hari tadi.
"Soal MA63 yang dilaksanakan oleh Datuk Fadillah (TPM2), kita beri sebulan tempoh dan genap sebulan kita umumkan beberapa kemajuan yang jauh lebih baik untuk menyelesaikan sebahgian besar isu yang dibangkitkan.
"Itu melibatkan pindaan undang undang dan kita tunggu sidang parlimen. Beberapa isu besar hari ini umpamanya untuk gas, kita pindah kuasa kawal selia bekalan gas yang dulunya di peringkat Petronas/ Persekutuan dipindahkan ke Kerajaan Negeri Sabah, telah berlaku di Sarawak dan tentunya tarikh pelaksanaan menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong," katanya.
Perdana Menteri juga mengarahkan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia untuk menyegerakan pendaftaran pekerja asing yang mengalami kelewatan sebelum ini kerana tidak mahu menjejaskan pembangunan negara.
"Satu perkara lain ialah kekurangan pekerja, Kementerian Dalam Negeri dan Sumber Manusia diminta menyegerakan terutama bidang perladangan, industri perkhidmatan dan pembinaan. Ketiga tiga ini perlu diberi tumpuan kerana kelewatan menyebabkan beberapa urusan terbantut," katanya.
Anwar turut menjelaskan mengenai projek keretapi Rel Hubungan Pantai Timur (ECRL) yang diputuskan untuk diteruskan dengan pengurangan kos sebanyak RM11.01 bilion.
Beliau juga mengumumkan pembatalan Majlis Pemulihan Negara yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu, manakala Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) kini sedang diteliti bagi mengelak pertindihan tugas dan tanggungjawab.