Perjanjian Malaysia-AS bukan gadai kedaulatan, kekal bebas melabur
- Suara Keadilan
- 15 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Perjanjian perdagangan yang ditandatangani Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) pada Ahad lalu bukan bermaksud negara ini menyerahkan kedaulatan sebaliknya memastikan pelaburan yang selamat dan diiktiraf dunia.
Aktiviti Pakatan Harapan Kelantan, Mohd Hisyamuddin Ghazali ketika membidas dakwaan Datuk Eric See To atau dikenali sebagai Lim Sian See berhubung perkara itu berkata, tuduhan bahawa perjanjian tersebut sebagai “serah kedaulatan” seolah-olah menyatakan bahawa pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak sebelum ini turut berbuat demikian.
Katanya, Klausa Artikel 5.2 perjanjian tersebut bukanlah perkara baharu kerana perkara sama turut ditandatangani Malaysia dan AS ketika pentadbiran Presiden Barack Obama dan Najib pada 2014.
"Point utama kamu “Serah Kedaulatan”, jika macam tu zaman Najib Razak dulu dah serah kedaulatan la ya? Habis tu kenapa trade surplus asyik untungkan Malaysia?
"Klausa ini bukan baru, perjanjian zaman Najib dan Obama dah ada, Malaysia dah tandatangan US – Malaysia Comprehensive Partnership dan program Export Control & Border Security (EXBS)," kata Hisyamuddin atau dikenali sebagai Syam Ghaz dalam hantaran di Facebook.
Beliau memberikan reaksi terhadap hantaran Sian See yang juga bekas pegawai komunikasi strategik pentadbiran Najib yang mendakwa “kita serah banyak lagi kedaulatan negara” di bawah Artikel 5.2 tersebut.
Syam Ghaz turut berkongsi tangkap layar hantaran perkongsian Sian See yang mendakwa di bawah perjanjian tersebut pelaburan strategik yang masuk ke Malaysia perlu ditapis oleh AS.
Sebaliknya, Syam menjelaskan kedua-dua perjanjian tersebut mengandungi elemen serupa iaitu kawalan eksport terhadap barangan sensitif keselamatan (E&E, teknologi, bahan dwi-guna), penapisan pelaburan asing berdasarkan keselamatan negara dan penjajaran dengan sekatan AS terhadap entiti global yang disenarai hitam.
Kata beliau, perjanjian yang ditandatangani di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya memperbaharui dan menyesuaikan klausa lama dengan peraturan antarabangsa terkini.

"Ia bukan tunduk kepada AS, tetapi renewal dalam bentuk moden supaya pelaburan Malaysia kekal selamat dan diiktiraf dunia.
"Tujuan sebenar perjanjian ini untuk lindungi pelaburan dan elak Malaysia terlibat dalam sekatan antarabangsa," katanya.
Jelas beliau lagi klausa tersebut melindungi Malaysia daripada risiko geopolitik seperti perang dagang AS–China, sekatan Rusia dan penyeludupan bahan kritikal.
Katanya, ia juga bagi memastikan Malaysia tidak digunakan sebagai “laluan belakang” oleh syarikat asing yang disekat.
"Ia boleh menyaring pelaburan asing yang berisiko kepada keselamatan negara (contoh: REE, semikonduktor dan data strategik). Kecurian REE di Kedah, Kelantan tu mcmana?" tanyanya selain Malaysia dipercayai oleh para pelabur antarabangsa sebagai negara patuh piawaian global.
"Inilah sebab Malaysia masih menerima lonjakan FDI dari AS dan EU kerana perjanjian ini menjamin integriti sistem perdagangan kita."
Dalam hal ini beliau berkata secara realiti Malaysia kekal sebagai pengeksport bersih kepada AS kerana sekiranya kerajaan menggadaikan negara mana mungkin jumlah eksport ke AS semakin tinggi berbanding import.
"Bagi tiga tahun berturut-turut, Malaysia kekal pengeksport bersih kepada AS dengan lebihan dagangan melebihi RM70–90 bilion setahun. Ia bukti nyata bahawa Malaysia tidak ditekan, sebaliknya diuntungkan melalui hubungan perdagangan dua hala ini," katanya.
Tegas Syam lagi, dasar luar Malaysia turut kekal bebas apabila perjanjian berkenaan tidak menyekat negara ini berdagang dengan China, Rusia atau Iran.
"Ia hanya pastikan Malaysia tidak terlibat dengan entiti haram antarabangsa, prinsip yang sama diamalkan semua negara ASEAN.
"Malaysia kekal neutral, bebas dan berdaulat. Hari ini meterai perjanjian dengan China pula selepas tandatangan perjanjian dengan AS," katanya.





