top of page

"Perjanjian Malaysia-AS bukan ‘cek kosong’ tapi pagar diplomasi" - Tengku Zafrul

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 5 minutes ago
  • 2 min read

ree

Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang dimeterai Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) bukanlah satu bentuk pengorbanan kedaulatan negara, sebaliknya langkah strategik bagi memastikan akses eksport Malaysia kekal terbuka dan hak negara terus dilindungi.


Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam penjelasannya di Dewan Rakyat berkata Malaysia telah menghadapi tekanan hebat apabila kadar tarif AS terhadap eksport negara naik sehingga hampir 25 peratus, satu keadaan yang menuntut tindakan segera bagi melindungi pekerjaan dan industri dalam negara.


"Kerajaan telah mengadakan rundingan intensif selama enam bulan dan akhirnya mencapai pengurangan tarif kepada 19 peratus, kadar terendah yang diperoleh negara ASEAN yang mempunyai lebihan dagangan dengan AS," katanya.


Tengku Zafrul berkata rundingan itu tidak bermaksud persetujuan mutlak negara terhadap semua syarat yang dikemukakan AS.


Sebaliknya jelas beliau perjanjian itu memberi ruang untuk Malaysia memastikan peluang berbincang dan berunding sentiasa terbuka agar isu dapat diselesaikan tanpa menjejaskan kepentingan dan kedaulatan negara.


"Perjanjian ART ini bukan cek kosong kepada AS, ia ialah ‘pagar’ yang kita bina, supaya apa-apa tindakan selepas ini mesti melalui rundingan, bukan ugutan unilateral," katanya sambil menambah hasil rundingan perlu dirujuk kepada kementerian berkenaan untuk mendapat maklum balas seterusnya dan dibincang serta diputuskan Kabinet.


Beliau juga menyifatkan proses rundingan itu amat rumit dan mencabar dalam keadaan Malaysia sedang dikenakan tarif selain tekanan masa.


"Perjanjian tarif timbal balas unilateral ini adalah sesuatu benar-benar unprecedented (tidak pernah berlaku sebelum ini). Kita bukan berunding FTA (Perjanjian Perdagangan Bebas) biasa yang selalunya mengambil masa bertahun-tahun dengan paling cepat 18 bulan," katanya.


Tengku Zafrul menegaskan Malaysia kekal pegang prinsip bahawa negara ini tidak tunduk kepada kehendak mana-mana kuasa asing dan kekal berdiri dengan kedaulatan sendiri.


Beliau menyatakan bahawa klausa seperti Artikel 5.1 dalam perjanjian tersebut hanya akan digunakan apabila isu melibatkan kepentingan ekonomi atau keselamatan bersama dan bukan sebagai “lesen kosong” untuk pihak AS menentukan sesuatu perkara dalam urusan Malaysia secara unilateral.


Katanya Malaysia berpegang teguh kepada prinsip berkecuali, pendekatan whole-of-government dan sentiasa memastikan kepentingan serta kedaulatan negara terus dilindungi dalam memuktamadkan rundingan


Beliau menegaskan pasukan perunding negara tidak berganjak pendirian dalam perkara melibatkan isu "red line” (isu tidak boleh dikompromi) khususnya hak Bumiputera, dasar perolehan kerajaan dan tuntutan liberalisasi ekuiti sepenuhnya bagi sektor strategik negara seperti tenaga dan telekomunikasi.


Justeru itu bidasnya, dakwaan sesetengah pihak kononnya perjanjian itu sebagai ‘menjual negara’ amat tidak tepat sama sekali.


"Jika kita bagi kesemuanya (isu "red line”), tiada jaminan kita akan diberikan tarif lebih rendah. Ini hakikatnya. Tetapi kita tetap dengan pendirian kita, pertahankan kepentingan negara, tidak berganjak walaupun seinci.


"Ini soal maruah dan kedaulatan negara. Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara, kerajaan tidak akan sekali-kali mengizinkan kedaulatan kita diganggu-gugat," katanya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page