top of page

Perjanjian ART: Tidak benar Malaysia tergadai, jadi koloni AS - Dr Barjoyai

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 37 minutes ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Spekulasi kononnya Malaysia akan tergadai atau menjadi 'koloni baharu' Amerika Syarikat (AS) berikutan menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) pada Ahad lalu tidak perlu dirisaukan.


Menurut pakar ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai (gambar), perjanjian ART tersebut membenarkan Malaysia mengawal dan menentukan pelaksanaannya. Tidak sebagaimana dibayangkan oleh pihak pembangkang bahawa Malaysia boleh dipaksa untuk tidak berdagang dengan mana mana negara yang menerima sekatan ekonomi daripada AS.


Katanya, Malaysia juga mempunyai pilihan untuk keluar daripada perjanjian bersama AS itu sekiranya tidak mahu mengikut terma perjanjian.


"Sebenarnya dalam jangka panjang, kita tidak memerlukan AS (untuk berdagang). Eksport kita ke AS tak sampai 20% dan untuk jangka panjang, kita mungkin akan mengalih tumpuan kepada negara lain yang lebih adil dalam perhubungan perdagangan dengan kita.


"Jadi kita tidak perlu risau aspek menggadaikan negara untuk menjadi kolonial baharu dan sebagainya, (kerana) itu adalah satu bayangan yang kita ada kuasa untuk menanganinya (berdasarkan terma perjanjian)," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan hari ini.


Beliau diminta mengulas mengenai pandangan pengkritik yang mendakwa Malaysia seolah-olah menyerahkan kedaulatan apabila menandatangani Perjanjian ART Malaysia-AS.


Sedangkan perjanjian itu satu keperluan untuk meneruskan perdagangan dengan AS melalui tarif sekitar 19%. Malah, berdasarkan perjanjian itu juga sebanyak 1,711 talian tarif Malaysia telah dikecualikan daripada cukai import oleh AS meliputi produk seperti hasil sawit, getah, komponen pesawat dan ubat-ubatan.


Selain itu, Barjoyai menjelaskan, sebelum ini Malaysia tidak dikenakan cukai perdagangan dan mengeksport barangan bernilai sehingga RM198 bilion ke AS, manakala nilai import daripada AS pula berjumlah RM112 bilion.


''Apabila tiba-tiba dikenakan cukai, kadar awalnya lebih tinggi, itu tentunya menimbulkan kesan seolah-olah kita dijajah semula. Namun, sebenarnya kita tidak dijajah kerana Malaysia masih mempunyai pilihan sama ada mahu berdagang dengan AS atau sebaliknya.


''Jika kita berdagang, kita akan dikenakan cukai sebanyak 19%. Kemudian kita kata dalam jangka pendek, kita seolah-olah tiada pilihan lain kerana tidak boleh mengubah keadaan segera (mencari pasaran baharu bagi produk Malaysia).


''Jadi kita terpaksa mengambil kira kadar 19% itu. Namun, cabaran jangka pendek seperti ini sebenarnya boleh merangsang ekonomi kita menjadi lebih rancak.


''Kalau kita lihat di suku tahun ketiga, ekonomi Malaysia berkembang 5.2% dan eksport tumbuh lebih 12% sekali gus keadaan itu menunjukkan Malaysia sebenarnya bersedia menghadapi isu berkenaan,'' katanya lagi.


Perjanjian ART yang melunakkan tarif AS daripada 25% kepada 19% yang ditandatangani oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden AS, Donald Trump sebelum ini dikritik hebat.


Banyak pengkritik menganggap ART akan menjejaskan Malaysia dengan memetik klausa 5.1. Iaitu, andainya AS mengenakan sekatan ekonomi kepada mana-mana negara, Malaysia secara automatik perlu melaksanakannya.


Sedangkan sekiranya diteliti perjanjian itu, wujud frasa 'shared economic or national security concern' yang menjelaskan bahawa langkah sekatan hanya akan diambil sekiranya isu tersebut memberi kesan terhadap keselamatan ekonomi atau nasional kedua-dua negara, bukan sebelah di pihak AS sahaja.




Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page