Perjanjian ART: Tiada hasil REE Kelantan dimonopoli kuasa asing - Mahfuz
- Suara Keadilan

- Oct 31, 2025
- 2 min read

Kebimbangan Kerajaan Negeri Kelantan bahawa hasil nadir bumi (REE) negeri itu akan tergadai di tangan Amerika Syarikat (AS) berikutan perjanjian dagang antara kerajaan Malaysia dan AS yang dimeterai pada 26 Okt lalu kedengaran lucu.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar berkata, Kerajaan Negeri Kelantan cuba menimbulkan kebimbangan tidak berasas berhubung Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan AS itu, sedangkan hak REE di bawah kuasa negeri tidak terusik sama sekali.
Katanya, tiada guna Kelantan membangkitkan “kebimbangan palsu” itu sekiranya mahu mengalihkan isu kelemahan pentadbiran negeri yang masih gagal mengurus sampah, bekalan air dan banjir.
"Lucu juga bila Kerajaan Negeri yang masih gagal urus sampah, air dan banjir, tiba-tiba mahu bercerita tentang kedaulatan ekonomi global," kata Mahfuz dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan bahawa perjanjian ART bukanlah perjanjian penjualan REE kepada kuasa asing, sebaliknya merupakan langkah memperkukuh kerjasama pelaburan dan pemindahan teknologi bagi membolehkan Malaysia — termasuk Kelantan — membangunkan industri pemprosesan REE bernilai tambah dalam negara.
"Dasar ini selari dengan pendirian Kerajaan Negeri Kelantan yang mahu REE diproses dalam negeri dan bukan digali serta dijual mentah.
"Maka, tiada percanggahan dasar antara pusat dan negeri yang berbeza hanyalah persepsi terhadap niat sebenar perjanjian tersebut," ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa hak negeri terhadap hasil bumi tidak terjejas kerana ia dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan, dan segala urusan perlombongan tetap tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Negeri.
"Hak negeri terhadap REE tidak terusik walau seinci. Yang menakut-nakutkan rakyat kononnya hasil negeri akan dirampas hanyalah cubaan menutup kelemahan sendiri. Hasil ada, tapi pengurusan tiada," katanya.
Mahfuz turut menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan hari ini berbeza dengan pentadbiran era 1970-an yang pernah dituduh merampas hak negeri. Katanya, dasar semasa menekankan pemprosesan dalam negara dan bukan eksport mentah, sejajar dengan keperluan pembangunan lestari dan berimpak tinggi.
"Hakikatnya perjanjian Malaysia–AS tu bukan perjanjian jual negara. Ia perjanjian perdagangan dua hala — macam banyak lagi negara tandatangan. Tujuannya untuk buka pasaran, tarik pelaburan, dan kukuhkan keyakinan ekonomi," katanya.
Dalam masa sama, beliau menjelaskan bahawa tiada sebarang klausa dalam perjanjian ART yang menyerahkan kawalan REE kepada kuasa luar.
"Dalam isu REE, tidak ada satu ayat pun yang menyerahkan hak negeri kepada mana-mana kuasa asing. REE kekal di bawah kuasa negeri. Lesen perlombongan tetap dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri, manakala Persekutuan hanya mengawal dasar keselamatan, eksport, dan piawaian nasional, perkara yang biasa dalam sistem persekutuan," katanya.
Justeru, Mahfuz menasihatkan Kerajaan Negeri supaya memberi tumpuan kepada pembangunan sebenar industri dan memperkukuh pengurusan ekonomi, bukannya mengitar semula naratif politik lama.
"Mungkin sudah tiba masanya Kerajaan Negeri Kelantan lebih sibuk menyiapkan pelan industri sebenar daripada menulis skrip drama politik lama “kami dizalimi lagi”," sindirnya.
Untuk rekod, isu hak negeri Kelantan dalam hasil REE baru baru ini dibangkitkan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan yang berkata Perjanjian ART tidak pernah dirujuk kepada negeri terutama mengenai REE.
Sedangkan PM Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan di Dewan Rakyat semalam bahawa Malaysia bebas menjual REE kepada mana mana negara, cuma perjanjian dengan AS lebih merupakan kepada perdagangan jangka panjang, juga melibatkan pemindahan teknologi dan sebagainya yang menaikkan nilai unsur nadir bumi itu.









Comments