Perjanjian ART strategi lindungi ekonomi hadapi ketidaktentuan global
- Suara Keadilan
- 21 minutes ago
- 2 min read

Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia–Amerika Syarikat (AS) biarpun telah dua minggu ditandatangani tetapi isu itu masih dimainkan pembangkang kononnya memberi implikasi negatif ke atas kedaulatan negara.
Hal sama juga dibincangkan oleh pemimpin Pakatan Harapan yang kritis terhadap perjanjian terbabit sehingga menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat.
Bagi Setiausaha Pertubuhan Pendidikan Intelek Warga Terengganu, Ahmad Nadhir Yob, perjanjian ART sekiranya dilihat secara keseluruhan bukanlah satu bentuk penyerahan kedaulatan kepada kuasa asing, sebaliknya satu strategi bagi melindungi rakyat dan ekonomi negara daripada risiko ketidaktentuan ekonomi global.
Beliau berkata demikian sebagai respon kepada perdebatan hangat waktu ini melibatkan kenyataan video mantan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan ahli politik, Isham Jalil yang menurutnya menjadikan isu perdagangan antarabangsa sebagai “bahan untuk menaikkan rating TikTok”, bukan ruang untuk memahami realiti ekonomi dunia.
"Sampai bila kita mahu memanipulasi fakta demi kepentingan politik sempit?" soalnya.
Ahmad menjelaskan, antara kekeliruan utama yang disebarkan mengenai perjanjian itu ialah perbandingan Malaysia dengan Kemboja yang tidak begitu tepat, kerana Kemboja tergolong dalam kategori Least Developed Country (LDC).
"Pengkritik berhujah kononnya Kemboja berjaya mengekalkan “kedaulatan perdagangan” melalui klausa khas, manakala Malaysia tidak.

"Hakikatnya, hujah ini separuh masak. Seperti yang dijelaskan oleh Menteri MITI, Tengku Zafrul Aziz, Kemboja diberikan layanan berbeza kerana statusnya LDC. Malaysia pula ialah ekonomi perindustrian berpendapatan sederhana tinggi. Maka, syaratnya juga berbeza dan ini prinsip asas dalam rundingan global.
"Mereka yang menyamakan rundingan Malaysia dengan Kemboja ibarat menyamakan bola Piala Dunia dengan perlawanan futsal pasukan kampung, langsung tidak sepadan dari segi kapasiti dan keupayaan," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia masih mengekalkan kedaulatan ekonomi apabila berjaya merundingkan 1,711 pengecualian tarif, melindungi ribuan produk tempatan seperti sektor elektrik dan elektronik, getah, farmaseutikal serta minyak sawit.
"Siapa sebenarnya lebih berdaulat? Negara yang melindungi industrinya, atau yang menghapuskan semua duti hanya demi satu klausa simbolik?" tanyanya.
Menurut Ahmad Nadhir, tanpa ART, AS dijangka mengenakan tarif tinggi hingga 100% terhadap produk semikonduktor dan 50% terhadap perabot Malaysia. Namun, hasil rundingan, eksport bernilai RM22 bilion berjaya dilindungi, manakala baki RM176 bilion eksport hanya dikenakan tarif 19%, berbanding 25% sebelum ini.
"Ini bukan retorik. Ini fakta perdagangan yang disahkan oleh Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM). Tanpa ART, ratusan ribu pekerja sektor eksport akan terjejas bukan kerana ramalan, tetapi kerana realiti risiko tarif unilateral AS," ujarnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa perbalahan terbuka antara tokoh dalam kerajaan sendiri seperti Rafizi dan pasukan MITI hanya akan menguntungkan pembangkang.
Sehubungan itu, Ahmad Nadhir menyeru agar Kerajaan Madani kekal fokus membina keyakinan pasaran dan kestabilan politik, serta tidak membenarkan isu ekonomi nasional dijadikan bahan polemik dalaman.
"Jika isu seperti ART dibiarkan menjadi senjata politik dalaman, yang rugi bukan Rafizi atau Zafrul tetapi rakyat Malaysia seluruhnya," tegas beliau lagi.





