'Periuk Nasi Selatan' tingkat pengeluaran padi di Johor
- Suara Keadilan

- Feb 6, 2024
- 2 min read

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan menyalurkan peruntukan sejumlah RM3 juta kepada Johor dalam masa terdekat ini melalui salah satu usaha strategik Pelan Pembangunan Industri Padi dan Beras iaitu “Periuk Nasi Selatan”.
Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, peruntukan di bawah Pengukuhan Inovasi Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat (PINTAR) tersebut adalah bagi menghargai komitmen kerajaan negeri dalam meningkatkan produktiviti hasil padi negara.
"Bagi menghargai komitmen Kerajaan Johor meningkatkan lagi produktiviti hasil padi di negeri ini, KPKM akan menyalurkan peruntukan sejumlah RM3 juta dalam masa terdekat melalui salah satu usaha strategik di bawah PINTAR yang kita panggil Pelan Pembangunan Industri Padi dan Beras iaitu “Periuk Nasi Selatan”," katanya dalam kenyataan semalam.
Mohamad berkata kementeriannya sentiasa terbuka dengan mengalu-alukan sebarang cadangan yang dikemukakan oleh kerajaan negeri mahupun mana-mana pihak termasuklah jabatan, agensi dan pihak swasta.
Katanya langkah itu agar semua pihak dapat bersama-sama mengangkat agenda keterjaminan negara ke tahap yang lebih tinggi demi kepentingan petani, penternak dan pesawah.
"Harus diakui bahawa dalam hal makanan ruji rakyat iaitu beras, negara kita masih lagi bergantung pada beras putih import kerana kita hanya mampu mengeluarkan 62.6% beras putih tempatan.
"Kerajaan memandang serius perkara ini dan mula melaksanakan beberapa langkah drastik melalui PINTAR. Perubahan ini kita gelarkan sebagai “Gelombang Padi”," ujarnya.
Bagi tahun 2024, Mohamad berkata pihaknya telah mengarahkan kementerian memberikan fokus kepada pengukuhan empat industri iaitu padi dan beras, ayam dan telur, bawang dan nanas.
Terdahulu Mohamad bersama pegawai kementerian melawat tapak Projek Penanaman Padi di kawasan Sawah Ring, Tangkak.
Pada lawatan tersebut beliau menyampaikan bantuan berjumlah RM531,000 bagi Program Bantuan Tunai Fasa 2 Tahun 2023 untuk 885 orang pesawah di Johor selain sumbangan 50 bakul makanan kepada pesawah, peladang dan penternak sekitar kawasan Sawah Ring.
Turut hadir Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Zahari Sarip, Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) kementerian Datuk Badrul Hisham Mohd




Comments