top of page

"Peristiwa 98 berbeza dengan 2025", Reformis jawab Rafizi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 21
  • 2 min read

ree

Oleh: Azuan Ab Rahman


Kebimbangan bekas Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli berhubung kemungkinan berlakunya pengunduran besar-besaran ahli parti pasca-pemilihan disifatkan tidak berasas.


Ketua Cabang KEADILAN Paya Besar, Wan Fauzuldin Wan Samad (gambar) berkata, situasi berlaku dalam parti ketika ini jauh berbeza dengan krisis politik besar pada tahun 1998 yang menyaksikan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada UMNO dan kerajaan.


"Peristiwa tahun 2025 hanyalah proses pemilihan biasa yang diadakan setiap tiga tahun. Tahun ini, seorang Menteri Ekonomi tewas dalam pemilihan parti, itu sahaja. Tiada pemecatan, tiada penganiayaan," katanya dalam satu kenyataan.


Reformis itu mengulas dakwan Rafizi di podcastnya tentang rasa tidak puas hati yang semakin ketara di akar umbi parti itu berpunca dari pemilihan parti baru-baru ini.


Rafizi tewas dalam perebutan jawatan timbalan presiden kepada Nurul Izzah Anwar kemudian bertindak meletak jawatan sebagai Menteri Ekonomi.


Sementara itu menurut Wan Fauzuldin, perbandingan dengan peristiwa 1998 yang dibuat Rafizi bagi mewajarkan dakwaanya kurang realistik.


Hal ini kerana KEADILAN tidak pernah menyaksikan pemimpin parti dizalimi atau difitnah oleh pimpinan tertinggi sebagaimana berlaku dalam UMNO terhadap Anwar suatu ketika dahulu.


"Mana mungkin tokoh yang pernah dizalimi, difitnah dan dikhianati – kini menjadi pemimpin KEADILAN – akan mengulangi tindakan kejam seperti rejim Mahathir dahulu? Hingga kini, tiada mana-mana pemimpin di mana-mana peringkat dalam KEADILAN yang teraniaya.


"Jangan menghantui diri sendiri. Bayang-bayang pun dianggap hantu. Kamu tidak dipecat daripada parti. Bahkan sebelum kamu, ramai tokoh besar juga pernah tewas. Tetapi parti ini tetap utuh – malah semakin kukuh," ujarnya.


Mengakhiri kenyataannya, Wan Fauzuldin menyeru agar semua ahli parti kembali memperkukuh muafakat dan bergerak ke hadapan.


"Kami semua telah lama ‘move on’. Semoga Allah kurniakan taufik dan hidayah kepada semua agar tidak terus dihantui oleh ketakutan dan bisikan yang melemahkan perjuangan," tegasnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page