Perincikan segera pelan kargo ECRL menjelang operasi 2027
- 4 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Helmi Foad
Kerajaan digesa memperincikan segera pelan operasi kargo Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menjelang jangkaan ia mula beroperasi pada Januari 2027.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang berkata, perincian berkaitan struktur kadar pengangkutan, tempoh penghantaran, kekerapan tren serta penyelarasan dengan hab logistik utama amat penting bagi memberi keyakinan kepada pelabur dan pemain industri.
"Walaupun ECRL turut menyediakan perkhidmatan penumpang, kita sedia maklum bahawa peranan utamanya adalah sebagai pengangkutan kargo.
"Oleh itu, kecekapan dari segi kos dan masa penghantaran akan menjadi faktor utama yang mempengaruhi keputusan pelaburan dan perancangan rantaian bekalan industri," katanya dalam satu kenyataan.

Laporan media tempatan baru-baru ini menyebut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan projek ECRL kini mencapai 91.7 peratus dengan jangkaan ia dapat beroperasi menjelang 2027.
Ia kini memasuki fasa penyediaan operasi termasuk ujian tren, susulan ketibaan set ‘Electric Multiple Unit’ (EMU) dan lokomotif elektrik (E-Loco) pertama yang menandakan kemajuan penting bagi projek bernilai RM50.27 bilion itu.
Rangkaian rel elektrik sepanjang 665 kilometer itu melalui Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.
Chun Kuang berkata, maklumat yang jelas dan diumumkan lebih awal amat penting supaya pihak industri dapat membuat perancangan strategik khususnya dalam suasana ketidaktentuan geopolitik dan penstrukturan semula rantaian bekalan global ketika ini.
Tambah beliau, pengumuman awal pelan kargo juga mampu memberi rangsangan besar kepada pembangunan kawasan perindustrian utama seperti Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP), Stesen Kuantan City Port serta Gambang Halal Park.
"Saya percaya sekiranya pelan kargo ECRL diumumkan lebih awal, ia akan memberi keyakinan besar kepada pelabur dan pemain industri untuk merancang pengembangan operasi mereka.
"ECRL bukan sekadar projek rel, tetapi pemangkin transformasi ekonomi wilayah yang mesti dimanfaatkan sepenuhnya," katanya.





