top of page

Pergolakan PN Perlis: Rakyat mahu kerajaan stabil, bukan berebut kuasa

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 days ago
  • 2 min read

ree

Pergolakan politik yang melanda Perlis dianggap bukan sekadar krisis dalaman parti pemerintah malah ia mula memberi kesan besar kepada kestabilan pentadbiran negeri, keharmonian institusi raja berperlembagaan serta kesejahteraan rakyat keseluruhannya.


Pengerusi Pakatan Harapan negeri, Noor Amin Ahmad (gambar) berkata penarikan sokongan dan percaturan politik yang tidak matang ini berpotensi mengheret Raja Perlis ke dalam krisis yang sepatutnya diselesaikan secara berhemah di peringkat dalaman Perikatan Nasional (PN) sendiri.


"Institusi raja wajib dihormati dan tidak seharusnya dijadikan jalan keluar kepada kegagalan kepimpinan politik," katanya dalam kenyataan.


Laporan media tempatan menyebut Kerajaan negeri Perlis kini dikatakan menghadapi krisis politik serius selepas beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dikatakan menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli daripada Pas.


ADUN-ADUN terbabit dilaporkan telah menyerahkan Akuan Bersumpah kepada Raja Perlis menyatakan mereka menarik sokongan kepimpinan Mohd Shukri.

Ketika ini PN menguasai 14 kerusi DUN dengan sembilan dimiliki Pas manakala lima dari Bersatu dan satu PH sebagai pembangkang.


Noor Amin yang juga bekas Ahli Parlimen Kangar berkata selepas episod hitam pengkhianatan politik pada Februari 2020, rakyat Malaysia telah menghantar mesej yang jelas iaitu kestabilan mesti menjadi asas pentadbiran negara dan negeri.


Justeru itu, katanya penggubalan Akta Anti-Lompat Parti di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta pindaan perlembagaan parti-parti politik, tidak boleh hanya menjadi kosmetik undang-undang.


"Ia mesti benar-benar berfungsi untuk menjamin mandat rakyat dihormati. Jika kerangka sedia ada masih longgar, maka ia perlu diperkukuh demi kepentingan demokrasi dan masa depan negara," ujarnya.


Meskipun PN memenangi PRU-15 di Perlis, hakikatnya mereka gagal membuktikan bahawa pentadbiran yang dibentuk benar-benar menepati slogan bersih dan stabil, bidas Noor Amin.


"Dengan kelebihan hampir mutlak di DUN, PN seharusnya memberi fokus kepada pembangunan negeri dan kebajikan rakyat. Namun yang berlaku ialah politik berterusan, konflik dalaman dan kegagalan menyelesaikan masalah asas rakyat," katanya.


Dalam pada itu, Noor Amin berkata PH Perlis akan terus memantau perkembangan semasa dengan penuh tanggungjawab termasuk bersedia sepenuhnya menghadapi sebarang kemungkinan termasuk pembubaran DUN dalam masa terdekat.


Jelas beliau berbekal pengalaman mentadbir, kerjasama kukuh parti-parti Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan negeri dan komitmen terhadap tadbir urus yang telus, stabil serta berfokuskan rakyat, PH Perlis bersedia menawarkan kepimpinan baharu.


"Kami yakin rakyat Perlis mahukan sebuah kerajaan negeri yang matang, stabil, berwibawa dan benar-benar bekerja untuk rakyat, bukan kerajaan yang sentiasa berpolitik dan bergolak sesama sendiri.


"Insya-Allah, kami sedia tampil sebagai pilihan yang diyakini, demi masa depan Perlis yang lebih baik," ujar beliau.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page