top of page

Pergolakan di Perlis zahirkan kelemahan, isu dalaman Pas - Mahfuz

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Dec 30, 2025
  • 2 min read

Oleh: Akmal Manaf


Kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung dakwaan wujud tekanan berkaitan projek dan jawatan dalam krisis politik Perlis, dilihat sebagai satu pandangan yang wajar diperhalusi secara menyeluruh, memandangkan isu berkenaan dipercayai berpunca daripada dinamika dalaman parti yang telah berlarutan sejak sekian lama.


Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar (gambar) mendakwa, kemelut di Perlis tidak bermula dengan tekanan luar, tetapi daripada ketidakpuasan hati dalaman Pas negeri terhadap kepimpinan Menteri Besar ketika itu, yang telah dizahirkan secara terbuka sejak hujung 2023 dan memuncak dalam perbahasan Muktamar Pas Pusat 2024.


"Isyarat penolakan ini kemudiannya disahkan melalui keputusan Pemilihan Pas 2025 apabila pasukan kepimpinan YB Cikgu Shukri di negeri, tewas di semua pemilihan kepimpinan Pas kawasan-kawasan.


"Jika benar wujud tekanan berkaitan projek atau jawatan seperti dakwaan Ayoh ChikTok Guru Presiden Pas , tidak ada keperluan langsung untuk Menteri Besar meletakkan jawatan.


"Sepatutnya tanggungjawab Ayoh Chik dan kepimpinan Pas pertahankan Cikgu Shukri dan kerajaan pimpinan Pas daripada serangan tekanan pihak luar dengan mengukuhkan kerjasama dalam parti, memperbaiki kepercayaan dalaman dan menutup ruang manipulasi politik.


"Bukannya membiarkan krisis menjadi alasan untuk mengelak tanggungjawab sehingga hilang kerajaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Lebih membimbangkan kata Mahfuz, kenyataan yang kabur dan tidak disertakan dengan bukti hanya mengundang spekulasi serta mengelirukan rakyat, sedangkan dakwaan melibatkan tekanan dan salah laku sepatutnya diserahkan kepada saluran undang-undang, bukan dijadikan naratif politik untuk menutup kegagalan sendiri.


Beliau menambah, Pas tidak boleh terus menyalahkan faktor luaran untuk menutup hakikat bahawa krisis di Perlis itu merupakan hasil daripada konflik dalaman yang gagal ditangani secara berhemah oleh kepimpinan tertinggi parti.


Mantan Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, rakyat Perlis berhak kepada kebenaran dan kepimpinan yang bertanggungjawab, bukan alasan yang diubah-ubah.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page