top of page

Perebutan kuasa punca N Sembilan hadapi PRN, Jalaludin dalang utama

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Jul 24
2 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mendakwa Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang berlangsung tercetus akibat perebutan kuasa dalam kalangan pemimpin tertentu, bukannya kerana kehendak rakyat.


Exco AMK Malaysia, Haqqim Nazaruddin (gambar) mendakwa Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaludin Alias, perlu bertanggungjawab terhadap kemelut politik yang membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).


"Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang berlangsung hari ini bukan berlaku kerana rakyat mahukan pilihanraya, sebaliknya berpunca daripada kerakusan politik segelintir pemimpin yang lebih mengutamakan cita-cita peribadi berbanding kestabilan negeri


"Dalam hal ini, Datuk Jalaludin Alias perlu bertanggungjawab terhadap kemelut politik yang tercetus. Beliau dilihat lebih ghairah mengejar jawatan Menteri Besar daripada memastikan pentadbiran negeri terus stabil demi kepentingan rakyat," katanya dalam kenyataan.


Menurut Haqqim, isu berkaitan institusi adat yang timbul sebelum ini sepatutnya diselesaikan menerusi saluran yang diperuntukkan adat dan undang-undang, bukannya dipolitikkan sehingga mencetuskan ketegangan.


"Krisis berkaitan institusi adat yang berlaku sebelum ini sepatutnya diselesaikan melalui saluran dan mekanisme yang telah diperuntukkan mengikut adat serta undang-undang.


"Malangnya, isu tersebut telah dipolitikkan sehingga mencetuskan ketegangan yang akhirnya mengheret Negeri Sembilan ke dalam ketidakstabilan politik yang tidak sepatutnya berlaku," katanya.


Beliau berkata, kemelut itu telah menjejaskan tumpuan kerajaan negeri terhadap pelbagai agenda pembangunan dan kebajikan rakyat.


Haqqim turut mempersoalkan kesesuaian Jalaludin sebagai calon Menteri Besar sebagaimana yang dimainkan di media sosial Katanya, kepimpinan negeri memerlukan individu yang mampu menyatukan rakyat, menghormati institusi serta menjamin kestabilan pentadbiran.


"Seorang Menteri Besar bukan sekadar perlu lantang berpolitik atau bijak memainkan sentimen. Negeri Sembilan memerlukan seorang pemimpin yang mampu menyatukan rakyat, menghormati institusi, menjamin kestabilan pentadbiran dan mempunyai rekod perkhidmatan yang terbukti," katanya.


Beliau turut menggesa Barisan Nasional menampilkan calon Menteri Besar yang lebih berwibawa dan berintegriti sekiranya benar-benar mahu menawarkan kepimpinan baharu kepada rakyat Negeri Sembilan.


Dalam kenyataan sama, Haqqim memuji pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang menurutnya berjaya mengekalkan kestabilan politik dan meneruskan agenda pembangunan negeri.


"Pilihanraya kali ini bukan sekadar memilih parti politik. Ia adalah pilihan antara kestabilan atau perebutan kuasa. Negeri Sembilan telah membuktikan bahawa pentadbiran di bawah Datuk Seri Aminuddin Harun atau Tok Min mampu membawa kestabilan politik, kesinambungan pembangunan dan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat," katanya.


Justeru, bagi Ketua AMK Jelebu itu, pengundi pengundi dalam PRN Negeri Sembikan kali ini perlu memilih kepimpinan yang mengutamakan kepentingan rakyat berbanding cita-cita politik individu.


"Rakyat Negeri Sembilan perlu menolak politik yang menggadaikan kestabilan negeri demi memenuhi cita-cita individu. Masa depan negeri ini mesti ditentukan oleh kepimpinan yang mengutamakan khidmat kepada rakyat, bukannya perebutan kuasa," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page