Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar dipercepatkan penggunaan dan penglibatan perniagaan di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand, terutama bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Beliau menyuarakan isu itu dalam ucapan sesi pleno bertajuk Semakan dan Hala Tuju Masa Hadapan Hubungan Dialog ASEAN-Australia pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia, semalam.
"Saya utarakan perkara tersebut sewaktu berucap dalam sesi pleno bertajuk Semakan dan Hala Tuju Masa Hadapan Hubungan Dialog ASEAN-Australia pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia.
"Perkara lain yang turut diberi tumpuan adalah mempererat hubungan ASEAN-Australia terkait transisi tenaga, pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050 dan pembangunan modal insan berkaitan kerjasama Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)," katanya dalam catatan di Facebook.
Selepas sesi ucapan pemimpin ASEAN berkenaan, Anwar bersama pemimpin ASEAN lain menyertai sesi makan tengah hari anjuran Gabenor Victoria Margaret Gardner AC di Government House, Victoria sebelum sesi permukiman berlangsung.
"Keakraban ASEAN-Australia harus diterjemah kepada lebih banyak peluang kerjasama untuk dimanfaatkan rantau ini secara bersama," katanya lagi.
*Kredit foto: Suhairi/PMO
Comments