top of page

Percepat proses kenaikan pangkat, PM Awanr arah KSN, JPA buat semakan

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 2 hours ago
  • 3 min read
DS Anwar berucap pada Sesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara bersama Warga Perkhidmatan Awam Zon Tengah di Universiti Islam Selangor (UIS), Bangi hari ini. Foto: PMO
DS Anwar berucap pada Sesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara bersama Warga Perkhidmatan Awam Zon Tengah di Universiti Islam Selangor (UIS), Bangi hari ini. Foto: PMO

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) menyemak semula sistem kenaikan pangkat penjawat awam, termasuk mempercepatkan proses bagi kategori yang mengambil masa terlalu lama.


Perdana Menteri berkata, hasil sesi libat urus bersama penjawat awam mendapati terdapat beberapa skim perkhidmatan yang memerlukan sehingga lapan tahun sebelum seseorang pegawai layak menikmati kenaikan pangkat.


"Apakah sepenuhnya cukup? Belum. Sebab itu dalam libat urus KSN, KPPA dengan rakan-rakan, input itu diberikan. Betul, gaji naik tapi kadang-kadang naik ke pangkat sesetengah kategori, tunggu sampai lapan tahun, umpamanya.


"Ini yang saya dengarlah. Betulkah you all complain dekat KSN? Tentang sesetengah kategori itu tunggu berapa lama dah. Tanya KSN, KSN beritahu saya, 'next meeting, we will have to review this.' Mana yang kenaikan yang terlalu lambat itu harus prosesnya dipercepatkan. Itu arahan yang diberikan," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara bersama Warga Perkhidmatan Awam Zon Tengah di Universiti Islam Selangor (UIS), Bangi hari ini.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan komited memperkukuh kebajikan penjawat awam selepas melaksanakan pelarasan gaji terbesar dalam sejarah perkhidmatan awam.


Menurut beliau, kerajaan tidak mahu hanya menuntut penjawat awam meningkatkan prestasi dan kecekapan tanpa memastikan kebajikan mereka turut diberi perhatian.


"Saya tak mahu balik-balik suruh kami kerja lebih, strict, salah tangkap, kalau tak betul, marah. Kemudian, kerja kena lebih kuat, tapi tak ada peduli tentang nasib kami. Jadi, itu yang saya nak betulkan."


Pada masa sama, beliau mendedahkan kadar pelarasan gaji yang diumumkan sebelum ini sebenarnya lebih tinggi daripada cadangan asal yang dikemukakan kepadanya.


"Tentang penjawat awam, tanyalah KPPA dan KSN. Mereka pun pada mulanya tidak yakin dengan cadangan untuk naikkan gaji kerana mengetahui kekangan kewangan negara dan beban hutang yang kita warisi.


"Tetapi apabila cadangan itu dikemukakan kepada saya, saya kata saya tak sanggup kemukakan yang ini. Dia ingat kita tolak. Saya tak sanggup kerana cadangan mereka itu bagi saya tak cukup tinggi, maka akhirnya saya tekankan yang lebih tinggi dan ini kenyataan.


"Selalunya apabila cadangan sampai kepada saya dan Menteri Kewangan, kadarnya akan diturunkan sedikit. Tetapi kali ini tidak. Dia cadangkan dan saya naikkan. Saya tanya keupayaan kita dan saya kata kita berupaya."


Dalam pada itu, Anwar berkata keputusannya memberi tumpuan kepada kebajikan dan pembangunan penjawat awam adalah tepat walaupun menerima kritikan daripada segelintir rakan politik yang berpendapat beliau terlalu bergantung kepada jentera perkhidmatan awam.


Beliau berkata, pentadbirannya turut mencatat sejarah sebagai kerajaan yang paling kerap mengadakan sesi libat urus bersama penjawat awam di pelbagai peringkat.


"Sehinggakan ada kawan-kawan tegur saya. Dia kata, 'Anwar, you ini jangan lupa, Anwar juga pemimpin politik, jadi harus santuni lebih ramai pimpinan politik. Nampak banyak sangat saya bergantung kepada penjawat awam'."


Namun, menurut beliau, kekuatan sesebuah negara bergantung kepada kecekapan dan komitmen penjawat awam dalam melaksanakan dasar kerajaan.


"Sistem politik tentu kita pertahankan. Tapi bagi saya, kalau penjawat awam itu mantap, kukuh dan lebih menjamin kesinambungan negara dan dasar.


"Kalau penjawat awam itu memahami falsafah pembangunan kita dan komited, ia akan memberi sumbangan besar kepada negara. Sebab keyakinan itulah saya memilih untuk memberi lebih tumpuan kepada mereka di semua peringkat.


"Jadi, I think I made a right decision. Walaupun antara kritikan yang saya terima ialah saya memberi terlalu banyak tumpuan, dukungan dan kepercayaan kepada penjawat awam," katanya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page