Percepat bina rumah mampu milik capai sasaran 500,000 unit - PM
- Suara Keadilan
- Apr 30
- 2 min read

Kerajaan menegaskan komitmennya dalam mencapai sasaran pembinaan 500,000 unit rumah mampu milik menjelang hujung tahun ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata projek tersebut dijangka menjadi antara pemangkin utama kepada usaha kerajaan dalam menangani isu perumahan khususnya bagi golongan muda dan berpendapatan rendah di bandar.
"Kalau 20 tahun lalu kita umum hendak bina 400,000 atau 500,000 rumah tapi tak pernah tercapai kerana ia perlukan kepimpinan dengan tekad politik yang jelas.
"Rumah orang kaya kadang-kadang komisen lebih tinggi; rumah kos rendah, komisen kecil. Kita kena pilih – komisen atau jaga rakyat? Kerajaan ini mesti utamakan pembelaan rakyat," kata Anwar ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Rumah Belia MADANI dan Rumah Mampu Milik di Mukim Batu, Kuala Lumpur semalam.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri mahu Projek Pembangunan Rumah Belia MADANI dan Rumah Mampu Milik yang bakal dibangunkan di Mukim Batu disiapkan mengikut jadual bagi memastikan pemilik tidak perlu menunggu terlalu lama.
Projek tersebut merangkumi pembinaan dua blok Rumah Belia MADANI yang akan menyediakan 1,048 unit lengkap dengan kemudahan dewan serbaguna, surau, dobi dan gerai MADANI seluas 6,000 kaki persegi.
Selain itu, tiga blok Rumah Mampu Milik turut dirancang, melibatkan 1,996 unit rumah berkeluasan 820 kaki persegi setiap satu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata peraturan dan kelulusan berkaitan pembangunan projek itu perlu diselesaikan segera dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif perlu melaporkan perkembangan projek berkenaan terus kepadanya.
"Saya nak tegaskan, hari ini kita berada di majlis pecah tanah, dan saya mahu projek ini dilaksanakan tanpa berlengah. Saya tidak bersetuju dengan majlis pelancaran rumah sekadar untuk tepukan, kemudian senyap begitu sahaja selama tiga bulan.
"Saya sangat memberi perhatian kepada aspek pelaksanaan. Kalau boleh, semua kelulusan disiapkan dalam dua minggu, tidak perlu tunggu dua bulan. Jangan biarkan ia terbantut disebabkan karenah birokrasi yang tidak menentu," katanya lagi.
Commentaires