KPM bakal Perluas Program Sekolah Dalam Hospital, elak keciciran murid
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Kementerian Pendidikan (KPM) bakal memperluas Program Sekolah Dalam Hospital (SDH) di beberapa fasiliti perubatan di Perak dan Putrajaya dalam masa terdekat.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (gambar) berkata, langkah itu bagi memastikan murid yang mempunyai masalah kesihatan tidak tercicir serta mendapat akses pendidikan sewajarnya.
"Jadi (hingga hari ini) kita lihat keberkesanan sokongan (terhadap SDH) itu ada, walaupun barangkali mereka (murid yang mengalami masalah kesihatan) tidak dapat bersekolah seperti biasa, kita jayakan juga dalam konteks untuk terus mendokong akademi dan juga sebagai sokongan terapi kepada mereka.
"Modul dan juga guru bagi program ini sangat penting yang mana guru-guru yang terpilih masuk SDH ini memang dengan hasrat mereka sendiri, dan mereka memberikan sepenuh komitmen menjayakan program ini," katanya dipetik.
Fadhlina ditemui selepas merasmikan program SDH di Hospital Seberang Jaya (HSJ), di Seberang Jaya pada Khamis.
SDH di HSJ adalah yang pertama di Pulau Pinang dan telah memulakan operasi pada 5 Ogos 2024 dengan menerima sejumlah 642 murid.
Dilaksanakan dengan kerjasama KPM, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta membabitkan Hospital Pengajar Universiti (HPU), terdapat 20 program SDH di 12 negeri.
Sehingga kini dianggarkan lebih 400,000 murid yang berdepan situasi kesihatan telah menerima manfaat dari program tersebut.
Sementara itu menurut Fadhlina, kementerian akan memastikan setiap guru diberikan kemudahan medium dan peranti sokongan bagi memastikan tugas pengajaran dapat dilaksanakan berdasarkan keadaan kesihatan pelajar sama ada terlantar atau boleh menghadiri kelas.
"Maka fleksibiliti itu ada kepada guru, dan sebab itu guru-guru kita ini memerlukan pelbagai medium sokongan, termasuk smartboard, smart TV, iPad dan sebagainya supaya mereka boleh melaksanakan tugas-tugas itu mengikut kepada keadaan murid-murid ini," tambahnya.




Comments