top of page

Percaturan politik: Jangan biarkan pengorbanan Otai Reformasi sia-sia – Ker Chean

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 5 hours ago
  • 2 min read

Perpecahan dalaman dan percaturan politik sempit tidak seharusnya mensia siakan pengorbanan generasi awal Reformasi.


Bagi Naib Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Loh Ker Chean, perjuangan Reformasi bukan sekadar episod politik. Ianya lebih besar, dan merupakan perjalanan panjang penuh pengorbanan yang melibatkan banyak tekanan kepada para pejuang.


Katanya, ramai dalam kalangan reformis kehilangan pekerjaan, ditahan pihak berkuasa dan hidup dalam ketidakpastian namun tetap bertahan demi memperjuangkan sistem negara yang lebih adil dan berintegriti.


"Saya sendiri pernah melalui saat-saat hampir hilang keyakinan terhadap masa depan perjuangan ini.


"Pada ketika itu, KEADILAN dilihat sedang berdepan pertembungan beberapa kem yang berbeza. Perbalahan dalaman begitu ketara sehingga saya mula tertanya-tanya sama ada perjuangan Reformasi yang dibina dengan begitu banyak pengorbanan akan mampu bertahan," kata Ker Chen dalam kenyataan hari ini.

Kenangan.. Ker Chean bersama Syed Husin
Kenangan.. Ker Chean bersama Syed Husin

Beliau berkongsi pengalaman peribadi pernah hampir menyerah kalah suatu ketika lalu namun diberi kata kata mutiara oleh tokoh besar KEADILAN, Dr Syed Husin Ali.


"Dalam keadaan itulah saya mendapat kesempatan berbicara dengan mantan Timbalan Presiden KEADILAN, Allahyarham Datuk Seri Dr Syed Husin Ali. Perbualan itu berlaku bertahun-tahun dahulu, namun sehingga hari ini kata-kata beliau masih terpahat dalam ingatan saya," katanya.


Syed Husin mengingatkan bahawa mengalah bukanlah satu pilihan. Perjuangan ini, kata beliau, lebih besar daripada kekecewaan mana-mana individu. KEADILAN wajib menang. Reformasi mesti diteruskan. Mereka yang memilih jalan perjuangan perlu mempunyai ketahanan jiwa untuk menghadapi pasang surut politik.


"Kata-kata itu mungkin ringkas, tetapi kesannya sangat mendalam kepada saya. Dalam saat saya hampir kehilangan harapan, beliau mengajar bahawa ukuran seorang pejuang bukan ketika semuanya berjalan lancar, tetapi ketika dia tetap memilih untuk bertahan walaupun sedang kecewa," ujarnya.


Menurut Loh, dalam membicarakan masa depan KEADILAN dan Kerajaan Malaysia Madani, akar perjuangan Reformasi tidak wajar dilupakan.


Katanya, perbezaan pandangan dalam parti adalah lumrah dalam politik matang, namun hal itu perlu diurus dengan baik agar tidak menjejaskan keyakinan rakyat.


"Politik yang matang bukan politik tanpa perbezaan. Politik yang matang ialah kemampuan mengurus perbezaan tanpa menghancurkan organisasi dan keyakinan rakyat."


Beliau turut mengingatkan bahawa rakyat sedang menilai sama ada parti masih komited memperjuangkan agenda Reformasi institusi, memerangi rasuah dan membina ekonomi yang lebih adil.


"Jika perjuangan ini hanya berkisar tentang individu mana lebih berkuasa di dalam dan di luar parti, maka kita sedang mengkhianati semangat asal Reformasi itu sendiri," ujarnya.


Justeru itu, Ker Chean menyeru semua pihak kembali kepada prinsip asas perjuangan serta menjadikan legasi tokoh terdahulu sebagai inspirasi.


"Marilah kita kembali kepada prinsip asas Reformasi. Kerana akhirnya, yang akan kekal bukan nama individu, tetapi nilai perjuangan yang kita tinggalkan untuk generasi akan datang," katanya.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Allahyarham Syed Husin Ali atas segala jasa dan pengorbanan beliau dalam perjuangan rakyat yang terus menjadi inspirasi kepada generasi Reformasi akan datang.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page