top of page

Perbicaraan kes rasuah bekas S/U politik Hamzah Zainudin bermula 25 Ogos

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 8
  • 1 min read

ree

Perbicaraan kes rasuah bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur akan bermula pada 25 Ogos ini.


Hakim Rosli Ahmad menetapkan tarikh perbicaraan selama empat hari bermula 25 hingga 28 Ogos dan mengarahkan pihak pembelaan menyerahkan pernyataan pembelaan kepada pihak pendakwaan selewat-lewatnya 22 Ogos, demikian laporan dipetik dari media tempatan hari ini.


Timbalan Pendakwa Raya, Hazel Tan Jia Qi memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah menyerahkan kenyataan saksi pada 31 Julai lalu.


Peguam Md Yunos Shariff yang mewakili tertuduh berkata, pihaknya akan mengemukakan pernyataan pembelaan di bawah Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 sebelum perbicaraan bermula.


Pendakwaan dijangka memanggil 20 saksi sepanjang perbicaraan.


Pada 23 Mei lalu, Sayed Amir, 43, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima suapan RM350,000 daripada Pengarah Urusan Nexuscorp Group, Wan Azhar Mohamed Yusof bagi membantu syarikat itu mendapatkan tender penyelenggaraan dan bekalan peralatan, pelayan dan perisian serta radio pengguna bagi sistem RMPNet Polis Diraja Malaysia bernilai RM381.1 juta.


Kesalahan itu didakwa dilakukan di Solaris Dutamas pada 4 dan 16 Disember 2020.


Sehari selepas itu, beliau sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu lagi pertuduhan meminta suapan berjumlah sama daripada individu sama, di pejabat Nexuscorp di Seksyen 7, Shah Alam pada awal Disember 2020.


Kes berkenaan kemudian dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama.


Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page