Perbetulkan unjuran hasil cukai, tubuh jawatankuasa pilihan untuk Petronas


Ahli Parlimen Subang, Wong Chen menggesa kerajaan supaya memperbetulkan semula unjuran hasil cukai pendapatan individu dan cukai korporat.


Ini kerana beliau menyifatkan angka bagi unjuran yang dibuat oleh Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Aziz iaitu RM42 bilion untuk cukai individu dan RM65 bilion untuk cukai korporat terlalu tinggi dan optimistik.


"Angka ini lebih besar daripada unjuran pada 2019 sebelum COVID-19, memang tak logik, pakar ekonomi juga bagi pandangan sama.


"Menteri boleh buat pembetulan terhadap unjuran ini pada bulan Mac tahun depan, melalui 'sistem recalibration budget', dulu YB Pekan pernah buat.


"Ini bukan soal 'saving face', tapi penting kerana apabila unjuran terlalu tinggi, kerajaan nampak sangat tidak realistik maka konfiden akan jatuh," katanya di Dewan Rakyat.


Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Kewangan 2020.


Pada masa sama, Wong Chen berkata unjuran yang terlalu tinggi akan memberikan kesan kepada rating kredit dan bon.


"Unjuran yang tepat juga akan menyediakan kerajaan supaya boleh lakukan jumlah penerbitan bon yang tepat sebab kita ada defisit RM85 bilion, kalau unjuran lari RM20 bilion kerajaan kena keluarkan RM105 bilion bon, bila buat tepat boleh bersedia untuk kemukakan bon.


"Perkara ini perlu dapat konfiden dari agensi rating tapi Fitch dah hentam kita, takkan kita nak minta Moody's dan s&p hentam kita juga, jadi buatlah unjuran yang baik," katanya.


Wong Chen juga menganggap pembetulan semula terhadap unjuran hasil cukai itu perlu dibuat kerana Covid-19.


"Walaupun Pfizer telah diluluskan di United Kingdom dan Amerika Syarikat, Malaysia belum lagi dipastikan dapat vaksin secukupnya untuk suku pertama tahun depan.


"Saya risau dan bimbang memandangkan kebanyakan negara di dunia sedang menghadapi gelombang ketiga, dan kadar jangkitan harian di Malaysia sering mencecah 1,000 ke 2,000 kes sehari.


"Jika ini berterusan, saya bimbang pada suku pertama kita mungkin perlu menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan atau Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan ini akan menjejaskan ekonomi secara langsung dan tidak langsung hasil pendapatan syarikat dan hasil pendapatan kita akan jatuh.


"Oleh itu, saya pohon belanjawan 2021 dah diluluskan, tidak perlu beri gambaran tidak logik dan masuk akal kepada rakyat, buat penyemakan semula.


"Sekurang-kurangnya janganlah kita jadi bahan ketawa oleh pakar ekonomi tempatan dan antarabangsa, bajet dah diluluskan buatlah perkara betul," katanya.


Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim kemudian bertanyakan pendapat Wong Chen mengenai cara kerajaan menguruskan dana Petronas.


"Petronas adalah hak rakyat, dari sudut perniagaan adakah wajar pihak kerajaan mengambil melebihi daripada yang dihadkan, sekiranya sebelum ini bagi RM30 bilion tapi kerajaan pernah tuntut dalam RM100 bilion, apakah wajar berbuat demikian apabila kerajaan menghadapi masalah," soalnya.


Wong Chen berkata dana Petronas perlulah dilaporkan dan dibentangkan di Parlimen.


"Dana Petronas kenalah kawal sikit, biasa kerajaan minta RM20 hingga RM30 bilion untuk masa-masa kecemasan atau kewangan.


"Ketika Covid-19, kalau keperluannya timbul kenalah guna dana Petronas, tapi isunya adalah laporan hasil Petronas, tak boleh bagi Perdana Menteri seorang.


"Boleh buat jawatankuasa pilihan di Parlimen supaya kita boleh dengar dan ambil sumpah tidak akan dedahkan menerusi Akta Rahsia Rasmi (OSA) tapi tak boleh bagi Perdana Menteri seorang sahaja, dana ini dana rakyat," katanya.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER