Perbaiki proses permohonan kewarganegaraan: KDN teliti syor EAIC
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 2 min read

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan komitmennya untuk memperkukuh tadbir urus serta melaksanakan penambahbaikan berterusan dalam pengurusan permohonan kewarganegaraan, susulan laporan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang mengemukakan syor penambahbaikan terhadap proses permohonan kewarganegaraan secara penaturalisasian.
Menurut KDN, kementerian sentiasa menghormati fungsi semak dan imbang institusi yang diwujudkan di bawah undang-undang dan akan meneliti setiap syor yang dikemukakan bagi memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam serta tadbir urus kementerian.
KDN menjelaskan bahawa permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan dilaksanakan melalui penelitian menyeluruh berdasarkan peruntukan Perlembagaan, undang-undang berkaitan serta kepentingan keselamatan dan kedaulatan negara.
Menurut kementerian, setiap permohonan perlu melalui semakan dan penelitian pelbagai agensi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing sebelum dipertimbangkan.
"Permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan merupakan suatu proses yang diperuntukkan oleh undang-undang dan dilaksanakan melalui penelitian menyeluruh terhadap setiap permohonan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang berkaitan serta kepentingan keselamatan dan kedaulatan negara," kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, KDN akan meneliti dapatan serta syor yang dikemukakan EAIC bersama agensi berkaitan termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan yang bersesuaian.
Antara aspek yang akan diberikan perhatian ialah pengukuhan prosedur operasi standard (SOP), dokumentasi, penyelarasan proses kerja serta mekanisme tadbir urus yang selaras dengan amalan terbaik perkhidmatan awam.
Selain itu, kementerian turut memaklumkan latihan berterusan akan diberikan kepada pegawai dan kakitangan yang terlibat bagi memastikan mereka mempunyai pengetahuan mencukupi serta kemahiran yang tinggi dalam mengendalikan permohonan kewarganegaraan.
KDN pada masa sama menegaskan bahawa kuasa mempertimbangkan permohonan kewarganegaraan tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan dilaksanakan secara berhati-hati dengan mengambil kira kepentingan awam, keselamatan negara serta fakta bagi setiap kes.
"KDN juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada mana-mana agensi yang mempunyai bidang kuasa untuk menjalankan siasatan lanjut sekiranya terdapat perkara yang memerlukan tindakan menurut undang undang," kata kenyataan itu lagi.




Comments