Persidangan Majlis Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 pada Julai ini wajar diadakan secara perbahasan penuh demi membangkitkan semula keyakinan pelabur asing kepada Malaysia.
Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai berkata, sebarang penangguhan sesi atau perbahasan yang disingkatkan hanya akan menyebabkan ketidakyakinan masyarakat antarabangsa terhadap demokrasi di Malaysia serta menghindarkan kemasukan modal asing pada waktu negara berdepan krisis ekonomi akibat wabak Covid 19.
Katanya, demokrasi yang telus penting bagi menarik minat pelaburan langsung asing kembali selepas peristiwa rampasan kuasa oleh Perikatan Nasional (PN) pada Februari lalu.
"Kerajaan PN harus memberi keyakinan kepada masyarakat antarabangsa dengan polisi yang jelas dan kukuh. Selaras dengan itu, persidangan Parlimen yang penuh dan sempurna adalah wajib sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen yang ingin dicontohi oleh lain-lain negara di dunia.
"Bulan-bulan yang akan datang menyaksikan persaingan hebat di antara negara-negara jiran untuk menarik pelabur asing dalam pasaran dunia yang sudah menguncup setelah wabak Covid-19, ini memberi tekanan kepada kita," katanya dipetik.
Chan mengharapkan perbahasan yang normal pada sesi kali ini. Katanya, persidangan yang akan dijalankan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tersebut mesti dilakukan seperti biasa untuk membentang pakej ransangan serta langkah-langkah untuk memulihkan ekonomi.
Menurut beliau, negara-negara seperti Singapura dan United Kingdom telah pun mengadakan persidangan Parlimen dalam bulan April lalu dan meluluskan pakej ransangan ekonomi, hanya Malaysia yang tertangguh.
"Walaupun persidangan Parlimen sudah ditetapkan dari tarikh 13 Julai 2020 hingga 27 Ogos 2020, saya ingin menegaskan ia mesti diadakan sepenuhnya seperti pada zaman sebelum wabak Covid-19," katanya lagi.
Beliau menambah, perbahasan akan menggubal undang-undang baharu berkenaan Covid 19 dan mungkin boleh menamatkan segera Perintah Kawalan Pergerakan agar ekonomi boleh dibuka sepenuhnya.
"Justeru itu, akan tiba masanya untuk Malaysia menamatkan PKP dalam apa bentuk jua atau kita akan ketinggalan di belakang negara-negara jiran di rantau ini," katanya lagi.
Comments