Perayaan Hantu Lapar: Antara Politik dan Jiwa-Jiwa Terabai
- Suara Keadilan

- Sep 11
- 3 min read

Oleh: Andre Lai Chen Heng
ULASAN: Setiap tahun, ketika bulan ketujuh dalam kalendar lunar Cina menjelma, jalan-jalan di Malaysia mengubah wajahnya. Di sekitar Wangsa Maju, Kuala Lumpur altar-altar sementara tumbuh bagai cendawan, dengan lilin dan colok disertai persembahan makanan tersusun rapi.
Hampir setiap malam, saya mendapat jemputan untuk turut bersama komuniti dalam ritual sembahyang dan makan malam sambutan. Kadang-kadang dalam satu malam, saya bergegas ke beberapa tempat demi memenuhi jemputan penduduk.
Perayaan ini amat unik buat keturunan Cina Malaysia. Untuk pengetahuan semua, kaedah sambutan di negara kita lebih meriah berbanding dengan negara China sendiri. Setiap tahun, ia mendatangkan tekanan kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, kerana permohonan permit penutupan jalan atau permohonan premis mencecah ratusan demi sambutan perayaan ini.
Saya menulis hantaran ini dalam bahasa kebangsaan, meskipun ia perayaan keturunan Cina, kerana saya ingin lebih ramai memahami asal-usul perayaan.
Hantu Lapar bukan satu yang menakutkan. Kepercayaan mengikut ajaran animisme, Tao dan Buddha mungkin membawa naratif berbeza, tetapi kesimpulannya adalah bulan 7 dalam kalendar Cina adalah masa di mana roh dibenarkan untuk berkeliaran dalam dunia manusia.
Cerita kelaparan jasmani dan politik
Versi asal-usul yang paling popular adalah kisah Mu Lian yang ingin menyelamatkan ibunya dari menjadi roh kelaparan. Daripada legenda inilah lahirnya tradisi memberi persembahan kepada roh-roh yang terlupakan. Namun, dalam Malaysia moden, metafora "hantu lapar" ini mengambil makna yang lebih mendalam.

Saban hari sepanjang sambutan, saya menyaksikan penganut mengaturkan makanan, colok dan bahan sembahyang di tepi jalan pada waktu malam. Ritual ini, yang kelihatan seperti persembahan untuk roh-roh tidak kelihatan, sebenarnya bercerita tentang kita semua.
Mereka ada di sekitar kita - insan yang makan sekali sehari untuk menjimatkan wang membeli ubat-ubatan, keluarga yang mencari perlindungan di bawah jambatan yang sama yang dilalui kereta mewah. Mereka inilah hantu-hantu yang sebenar, berbadan jasmani tetapi tidak kelihatan dalam naratif pembangunan negara.
Namun, ada jenis "hantu" lain yang turut berkeliaran - hantu politik yang sentiasa lapar kuasa, yang mengambil kesempatan daripada setiap inisiatif kerajaan untuk kepentingan diri. Ketika Malaysia Madani berusaha membina jaring keselamatan sosial, mereka sibuk memutar naratif untuk mencipta perpecahan. Ketika kerajaan berusaha membantu rakyat yang memerlukan, mereka hanya melihat peluang untuk menjatuhkan usaha murni ini.
Kerajaan Malaysia Madani menjadikan pembelaan golongan terpinggir sebagai teras pemerintahan. Inisiatif seperti Program Kebajikan Masyarakat Kota dan Bantuan Sara Hidup bukan sekadar pemindahan wang, tetapi pengakuan bahawa setiap warganegara berhak hidup dengan bermaruah.
Namun, yang lebih penting daripada bantuan material adalah pemulihan martabat. Program latihan kemahiran dan pendidikan percuma untuk anak-anak miskin bandar adalah cara kita 'memberi makan' bukan hanya perut, tetapi juga minda dan jiwa.
Ketika masyarakat sibuk menyediakan persembahan untuk roh, kita perlu ingat bahawa ada antara kita yang memerlukan perhatian yang sama. Semangat Malaysia Madani mengingatkan kita bahawa keadilan sejati hanya tercapai ketika yang terakhir menjadi yang pertama, dan yang paling lemah mendapat perlindungan terkuat.
Kelaparan kasih sayang
Akhirnya, perayaan ini mengajar kita bahawa kelaparan paling dahsyat bukanlah kelaparan perut, tetapi kelaparan akan perhatian, kasih sayang, dan pengiktirafan. Dalam mengejar kemajuan material, janganlah kita menjadi hantu yang lapar secara rohani - kaya dengan harta tetapi miskin belas kasihan.
Tradisi ini bukan sekadar warisan budaya untuk disambut, tetapi cermin untuk kita melihat kembali nilai kemanusiaan yang semakin terhakis dalam arus kemodenan.
Sebagai seorang warga Malaysia berbangsa Cina, meskipun saya seorang Kristian tetapi saya bangga dengan keutuhan masyarakat Cina di negara yang masih berazam kuat untuk bukan sahaja mengekalkan kesinambungan tetapi mengembangkan pengamatan kebudayaan.
Sembahyang Hantu Lapar bermula dari 23 Ogos sehingga 21 September 2025.
Penulis merupakan Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju









Comments