Peratusan undi meningkat, rakyat Johor masih percaya PH
- Suara Keadilan
- 7 hours ago
- 1 min read

Meskipun Barisan Nasional (BN) berjaya memenangi kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri Johor, jumlah undi yang diterima Pakatan Harapan (PH) turut membawa mesej penting yang tidak harus dipandang ringan.
Naib Ketua AMANAH Shah Alam, Firdaus Mokhtar berkata, peningkatan undi PH hampir 67 peratus dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026 menunjukkan gabungan itu masih mempunyai sokongan kukuh dalam kalangan rakyat negeri itu.
"PH memperoleh sebanyak 367,525 undi pada PRN Johor 2022, manakala jumlah tersebut meningkat kepada 611,983 undi pada pilihan raya kali ini.
"Angka itu, menunjukkan pertambahan sebanyak 244,458 undi atau peningkatan kira-kira 67 peratus berbanding pilihanraya negeri yang lalu.
"Ini membuktikan pengundi Johor masih meletakkan kepercayaan kepada PH, walaupun sokongan tersebut tidak diterjemahkan kepada pertambahan kerusi yang mencukupi," katanya dipetik laporan media.
Sementara itu tambah Firdaus, keputusan PRN kali ini tidak harus dianggap sebagai penamat kepada perjuangan PH di negeri berkenaan.
Sebaliknya, PH tegas beliau perlu menerima keputusan itu sebagai amanah untuk memainkan peranan sebagai pembangkang yang bertanggungjawab, menyokong dasar yang memberi manfaat kepada rakyat serta menegur kerajaan negeri apabila diperlukan.
"Lebih 600,000 rakyat Johor masih meletakkan kepercayaan kepada Pakatan Harapan dan kepercayaan itu bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.
"Kepercayaan rakyat perlu dibalas dengan kerja, bukan sekadar kata-kata. Perjuangan tetap diteruskan kerana Johor milik semua," jelasnya lagi.
