Usaha memerangi penipuan kewangan atas talian atau scammer yang seolah olah buntu sejak setahun lalu mendapat cahaya harapan apabila Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan 5 langkah bagi membanteras jenayah berkenaan.
Bagaimanapun, menurut Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Fahmi Fadzil yang terlibat dalam perjuangan mendesak pihak berkuasa bertindak ke atas scammer sejak 6 bulan lalu, selain langkah yang diumumkan kerajaan juga perlu mengambil beberapa langkah lain untuk mengetatkan lagi prosedur kewangan.
"Saya alu-alukan dan terima baik pengumuman Gabenor Bank Negara, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus bahawa beberapa tindakan segera akan dilakukan institusi-institusi kewangan bagi memerangi jenayah penipuan dalam talian.
"Seperti yang kita semua sedia maklum, setiap tahun 20,000 orang menjadi mangsa scammer dan lebih RM660 juta dicuri oleh scammer-scammer ini. Ini bersamaan lebih kurang 60 mangsa scam kehilangan RM2 juta setiap hari.
"Maka lima langkah yang diumum Gabenor seperti migrasi dari SMS One-Time Password (OTP) kepada sistem pengesahan transaksi yang lebih selamat; memperketat peraturan pengesanan penipuan dan bertindak menyekat transaksi yang disyaki terlibat dengan penipuan; ‘cooling-off period’ bagi pendaftaran pertama perkhidmatan perbankan dalam talian serta peranti; menghadkan pengesahan kepada satu peranti untuk setiap pelanggan dan mewujudkan hotline scam bagi setiap bank adalah langkah-langkah yang baik.
"Saya percaya ia mampu membantu mengurangkan jumlah jenayah scam," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai itu lagi, langah yang diambil BNM perlu dimantapkan kerana persekitaran penipuan atas talian tersebut yang amat kreatif dan boleh mengubah taktik dalam hanya beberapa minggu.
Katanya, lebih banyak langkah sokongan daripada kerajaan diperlukan untuk mengekang kreativiti para scammers.
"Pertama, kerajaan perlu menubuhkan satu pusat anti-scam kebangsaan yang berpangkalan di BNM melibatkan kesemua agensi termasuk PDRM, ABM, AIBIM, SKMM, Pejabat Peguam Negara, NACSA, Cybersecurity Malaysia, Ombudsman for Financial Services dan lain-lain;
"Kedua, meminda atau mengubah had kerugian bagi transaksi dalam talian tanpa kebenaran daripada RM25,000 ke RM100,000 bagi Ombudsman for Financial Transaction, supaya lebih ramai mangsa scammer akan mendapat akses perkhidmatan OFS;
"Ketiga, mewujudkan Dana Pemulihan (Recovery Fund) bagi membantu mangsa scam dari segi kewangan, sama ada dengan ganti rugi penuh atau separa penuh jumlah yang dicuri scammer," katanya.
Langkah keempat, kata Fahmi adalah yang paling penting iaitu menubuhkan satu ‘high-level taskforce’ bagi mendakwa di mahkamah mereka yang terlibat membuat panggilan scammer, menempat atau melindungi penjenayah scammer, serta merancang aktiviti scammer, termasuk dengan mendapatkan kerjasama ASEAN dan Interpol bagi menahan dan mengekstradisi penjenayah-penjenayah sekiranya pusat-pusat panggilan atau aktiviti jenayah scammer tersebut berpangkalan di luar negara.
Langkah itu, kata Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan itu akan melumpuhkan operator scammers dan sesiapa yang bersubahat dengan mereka
Manakala langkah kelima adalah pelengkap dengan menjalin hubungan pelbagai hala di antara negara-negara ASEAN untuk mempertingkat keselamatan siber negara masing-masing serta mewujudkan protokol-protokol kerjasama termasuk dari segi undang-undang bagi menghapuskan jenayah scammer di rantau ASEAN.
"Hari ini merupakan hari di mana perang menentang scammer mula beralih untuk memihak kepada rakyat.
"Namun perang ini baru sahaja bermula, dan tidak akan tamat sehingga kepala-kepala scammer berjaya didakwa di mahkamah, modus operandi scammer dipatahkan, dan mangsa-mangsa scammer mendapat keadilan," katanya lagi.
Comments