Perangi 'kartel dadah': Tekad PM Anwar perlu disokong padu - Thiban
- Suara Keadilan
- 7 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pendedahan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kewujudan kartel besar yang menyeludup dadah melalui kontena dari Pelabuhan Klang sejak 20 tahun lalu, mencerminkan komitmen jelas Kerajaan MADANI untuk memerangi, meruntuhkan, dan membasmi rangkaian yang mengancam keselamatan, masa depan dan kesejahteraan rakyat.
Ketua Cabang KEADILAN Kuala Selangor, Thiban Subbramaniam (gambar) berkata, pihaknya menzahirkan pujian kepada PM kerana secara terbuka telah mendedahkan perkara itu sekaligus menggambarkan pendekatan yang tegas dan tidak berkompromi terhadap ancaman najis dadah.
"Kepimpinan yang tegas ini amat penting untuk memastikan Malaysia tidak menjadi mangsa pengaruh merosakkan sindiket pengedaran dadah.
"Kami menyeru semua rakyat Malaysia untuk menyokong usaha ini. Kerjasama awam, kewaspadaan komuniti dan sokongan terhadap pihak berkuasa adalah penting demi memastikan ‘perang’ menentang dadah berjaya dilaksanakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kenyataan sama, Thiban turut memuji tindak balas pantas Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk rampasan dadah besar-besaran baru-baru ini di Kuala Selangor.
Operasi seperti itu, ujarnya, menunjukkan kemampuan dan kesediaan agensi penguatkuasaan bertindak mengikut arahan PM serta melindungi negara daripada elemen jenayah.
"Sehubungan itu, kami menyeru agar operasi rampasan dadah di seluruh negara terus diperkukuhkan, dengan koordinasi berterusan, perkongsian risikan dan strategi penguatkuasaan yang mantap.
"Perjuangan menentang pengedaran dadah mesti dilakukan secara berterusan, menyeluruh, dan tanpa kompromi.
"Setiap sindiket yang berjaya dibongkar membawa kita selangkah lebih dekat ke arah Malaysia yang lebih selamat dan generasi bebas daripada ancaman dadah," kata Thiban lagi.





