Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil menegaskan semua bantuan dan projek diumum untuk negeri dikuasai pembangkang sebelum ini akan diteruskan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu turut menegaskan komitmen kerajaan dari masa ke semasa untuk terus membuat penelitian berkaitan projek dan bantuan lain yang boleh disalurkan selari tekad kerajaan menjayakan konsep Malaysia Madani.
"Bagi Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), usaha kami termasuk di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bagi mewujudkan satu Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), kita akan teruskan dan ia tidak menjadi masalah.
"Saya percaya, kalau apa yang pernah disebut oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), memang kita akan teliti kerana kita juga mahukan hubungan yang baik, rapatkan silaturahim dan kukuhkan ukhwah di antara kerajaan negeri dan Pusat.
"Jadi kita akan teliti mengenai perkara ini dari masa ke semasa," katanya dipetik.
Ketua Penerangan parti KEADILAN itu ditemui pemberita selepas melancarkan Perkhidmatan Pertahanan Digital Siber dan Keselamatan Asia (CyberDSA), di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Selasa.
Beliau sebelumnya diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mahu membuka lembaran baharu antara Kedah dengan Kerajaan Persekutuan demi memastikan kesejahteraan di negeri itu.
Comments