top of page

Perancangan Licik Sekat Pengundi Atas Pagar PH

Updated: Nov 24, 2021



Oleh: Redzuan Shamsudin


ANALISIS: Kekalahan mengejut Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November lalu memberi kesempatan pelbagai pihak mengkritik parti-parti komponen PH, terutama KEADILAN yang tidak memenangi sebarang kerusi.


Kritikan kepada KEADILAN lebih tertumpu terhadap kekalahan di kerusi yang sepatutnya dipertahankan seperti DUN Machap Jaya, Klebang dan Rembia.


Manakala kemasukan calon lompat Datuk Seri Idris Harun dijadikan sebab utama penyokong PH tidak keluar mengundi.


Perancangan kotor kerajaan BN


Namun sekiranya diteliti dengan lebih terperinci kekalahan PH merupakan perancangan licik dan teliti pemerintah melalui taktik kotor berselindung di sebalik pandemik Covid 19. BN amat mengetahui PH Melaka tidak mempunyai pengundi tegar yang banyak sebagaimana di Selangor atau Pulau Pinang. Kebanyakan pengundi PH dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 atau sebelumnya datang daripada golongan atas pagar.


Berbanding pengundi tegar BN yang sangat mudah diheret ke tempat mengundi meski pun berkerusi roda, bertongkat atau berpapah, pengundi atas pagar PH biasanya terdiri daripada golongan yang tidak terlalu memikirkan politik. Mereka bersungguh sungguh dalam PRU 14 atau PRU 12 sebelumnya kerana ingin melihat BN ditumbangkan.


Namun golongan ini tidaklah sanggup menempuh badai, gelora atau jangkitan Covid 19 untuk memastikan kerajaan PH tertubuh. Sekiranya ada peluang mudah dan mengundi tanpa risiko maka mereka akan melakukannya. Andai pengundian sukar maka mereka memilih tidak pulang ke kampung atau tidak keluar rumah pun pada hari tersebut.


Masalah lebih parah, PH tidak mempunyai jentera yang cukup untuk menjemput para pengundi atas pagar ini di rumah mereka kerana kekurangan kenderaan dan wang. Berbanding BN atau PN yang boleh menggunakan semua sumber dana untuk membiayai kenderaan dan petugas.


Maka pengundi atas pagar tidak keluar untuk membantu PH dan hal ini boleh dilihat dari rekod pengundian. Pada PRN kali ini daripada 494,662 pengundi, hanya 319,689 yang menunaikan tanggungjawab berbanding pada PRU 14 lalu daripada 494,662 orang, sebanyak 413,156 keluar mengundi.


Faktor kedua adalah kurangnya minat anak muda keluar mengundi. Pada PRU 14 anak muda menjadi faktor menumbangkan BN. Masih belum banyak kajian dibuat mengapakah anak muda di saluran 4 dan 5 kali ini tidak teruja keluar mengundi sebagaimana dalam PRU 14 dan 12.


Apakah anak muda enggan mendengar janji politik dan mereka lebih mementingkan usaha sendiri untuk mencukupkan keperluan harian, oleh itu mereka 'memboikot' mengundi atau ada faktor lain?


Faktor calon terlalu muda


Mungkin juga PH perlu pendekatan lebih segar dalam menarik anak muda selain membariskan calon-calon muda yang mungkin golongan muda pun tidak melihat calon itu mampu mewakili mereka dengan jayanya.


Faktor calon yang terlalu muda menyumbang masalah dalam PRN. Apatah lagi tanpa apa apa gelombang atau isu hangat. ADUN tidak sama seperti Ahli Parlimen yang tugasnya lebih mudah. Oleh kerana andainya PH menang di Melaka maka akan menjadi negeri pembangkang, pengundi terbayang YB-YB muda ini akan bergaduh menghadapi pegawai pegawai kerajaan untuk meminta bantuan dan tidak kurang yang akan disabotaj oleh agensi Kerajaan Persekutuan. Calon yang lebih berpengalaman akan memberi lebih keyakinan.


Selain itu, calon muka baharu atau tidak dikenali pengundi juga bermasalah apabila Prosedur Operasi Piawai (SOP) yang tidak membenarkan kempen. Pengundi tidak kenal calon dan tidak boleh diperkenalkan melalui kempen rumah ke rumah. Akhirnya hanya penyokong PH yang rajin membelek media sosial mengundi calon berkenaan. Hal yang sama sepatutnya tidak berulang di PRN Sarawak. Berbanding parti yang tidak memperjuangkan politik nilai, logo mereka boleh diselitkan dalam sampul surat berisi RM100 dan pengundi akan 'mengingatnya' sewaktu memangkah.


Di sesetengah tempat pula, Umno setelah kalah dalam PRU 14 menonjolkan imej yang lebih warak. Mereka sering melakukan solat hajat di bilik gerakan dan tempat tertentu sehingga para pengundi terperdaya kononnya parti itu telah bertaubat dan menjadi lebih baik, malah lebih warak berbanding Pas.


Begitu juga penggunaan media milik pemerintah yang berleluasa terutama dalam siaran berita yang memaparkan aktiviti calon calon BN tanpa calon PH diberi liputan seimbang.


PH lemah main isu?


Di peringkat isu atau janji politik memang terdapat sedikit kelemahan strategi kempen PH yang tidak meletakkan jumlah amaun ditetapkan dalam skim bantuan Kerajaan Negeri. Sentuhan manifesto PH 'Maju Bersama Harapan' lebih kepada pernyataan umum tanpa angka angka yang boleh disandarkan.


Manifesto tersebut sesuai untuk BN atau PN yang pengundi boleh membayangkan Kerajaan Negeri meminta kewangan tanpa had daripada Kerajaan Persekutuan. Manakala sebagai pembangkang, PH perlu memperincikan dengan lebih cermat daripada manakah dana akan diperolehi untuk melaksanakan janji janji. Tanpa memberitahu sumber kewangan, rakyat terutama di luar bandar menganggap hal itu janji kosong.


Oleh kerana kempen hanya boleh dilakukan dalam talian maka risalah adalah medium paling berkesan. Malangnya risalah PH tidak menyentuh isu-isu tempatan seperti pembaikan jalan raya, longkang, tebatan banjir, padang bola dan sebagainya. Risalah yang tidak menyentuh isu-isu sekitar kehidupan pengundi ini tidak menarik perhatian. Sedangkan BN atau PN merupakan blok pemerintah dan rakyat yakin mereka boleh memohon apa sahaja, dan akan dibantu oleh Kerajaan Persekutuan sekiranya Kerajaan Negeri tidak mampu menunaikannya.


Namun untuk menyalahkan kepimpinan tertinggi PH sebagai penyebab kekalahan agak tersasar. Faktor kekalahan lebih kepada tekanan BN dan kesilapan strategi dalam meyakinkan pengundi.


Dalam PRN Sarawak, pemimpin peringkat tinggi dan pertengahan PH perlu bersiap sedia mengatasi faktor-faktor kelemahan tersebut sebelum hari penamaan calon


Sekiranya risalah atau manifesto yang meyakinkan tidak selesai maka langkah yang tempang ini sukar diperbaiki apabila pecutan kempen dilakukan selepas calon calon diterima pencalonan mereka.


________________________________________________________________________________

Artikel ini disediakan berdasarkan pemerhatian situasi kempen di PRN Melaka



0 comments

Recent Posts

See All

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page